ISS. FOTO fail AP
ISS. FOTO fail AP
AFP

Moscow: Rusia dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan akan menghantar kapal angkasa kosong ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bulan depan untuk membawa pulang tiga angkasawan selepas kapal yang sepatutnya membawa mereka pulang rosak akibat terkena meteoroid kecil.

Agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos, membuat pengumuman itu selepas meneliti keadaan kapsul kru Soyuz MS-22 yang berlabuh di ISS. Ia didapati mengalami kebocoran penyejuk radiator, pada bulan lalu.

Pegawai Roscosmos dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa) Amerika Syarikat (AS) ketika taklimat media berkata, kapal angkasa Soyuz yang tidak berkru, MS-23, akan dihantar ke ISS pada 20 Februari untuk membawa angkasawan Rusia, Dmitry Petelin dan Sergei Prokopyev serta angkasawan Nasa, Frank Rubio kembali ke Bumi.

"Kami tidak memanggilnya sebagai penyelamat Soyuz. Saya menggelarnya sebagai pengganti Soyuz.

"Sekarang kru selamat di stesen angkasa (ISS)," kata Joel Montalbano, pengurus program ISS di Pusat Angkasa Johnson Nasa di Houston, Texas, AS.

MS-22 menerbangkan Petelin, Prokopyev dan Rubio ke ISS, pada September, selepas ia berlepas dari tapak pelancaran dikendalikan Rusia di Kazakhstan.

Mereka dijadualkan pulang dengan kapal angkasa sama pada Mac, namun tempoh mereka berada di ISS kini akan dilanjutkan kepada beberapa bulan.

"Saya mungkin perlu mencari lebih banyak aiskrim untuk memberi ganjaran kepada mereka," seloroh Montalbano.

MS-22 mula mengalami kebocoran bahan penyejuk pada 14 Disember lalu sejurus sebelum angkasawan Rusia memulakan spacewalk (aktiviti di luar kapal angkasa).

Montalbano berkata, punca masalah itu adalah mikrometeoroid dan bukan serpihan angkasa, atau masalah teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 9:43 AM