Angkasawan UAE, Sultan Al Neyadi (kiri) dan Andrey Fedyaev pada sidang media berkenaan. FOTO AFP
Angkasawan UAE, Sultan Al Neyadi (kiri) dan Andrey Fedyaev pada sidang media berkenaan. FOTO AFP
AFP

Houston: Angkasawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan al-Neyadi pada Rabu berkata, dia tidak perlu berpuasa pada Ramadan ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Lelaki berusia 41 tahun itu menjadi angkasawan Arab pertama yang akan tinggal selama enam bulan di angkasa apabila dia berlepas ke ISS dengan roket Falcon SpaceX, bulan depan.

Neyadi bersama angkasawan Amerika Syarikat (AS), Stephen Bowen dan Warren Hoburg, di samping angkasawan Rusia, Andrey Fedyaev dijadualkan berada di ISS pada 26 Februari.

Ketika ditanya pada sidang media mengenai puasa Ramadan tahun ini, Neyadi menjelaskan situasi itu memberinya pengecualian.

"Saya dianggap sebagai pengembara, dan boleh buka puasa," kata Neyadi. "Ia tidak wajib."

"Sebenarnya, puasa tidak wajib jika anda... tidak sihat," katanya.

"Jadi dalam hal ini, apa jua yang boleh menjejaskan misi, atau meletakkan kru dengan risiko, kami sebenarnya dibenarkan untuk makan secara mencukupi."

Neyadi adalah individu kedua dari UAE yang menyertai misi ke angkasa.

Pada September 2019, Hazzaa al-Mansoori meghabiskan lapan hari di ISS.

Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) dan angkasawan Rusia turut ditanya sama konflik di bumi, misalnya Ukraine-Rusia, memberi kesan ketika mereka berada di angkasa.

"Saya sudah bekerja dan berlatih dengan angkasawan selama lebih 20 tahun dan ia setakat ini menakjubkan," kata Bowen, veteran berbanding angkasawan lain dalam misi sama.

"Apabila anda pergi angkasa, semuanya adalah satu kru, satu kenderaan dan kami mempunyai matlamat sama."

Fedyaev merujuk kepada "sejarah panjang" penerokaan angkasa antara Rusia dan Amerika Syarikat.

"Hidup di angkasa di ISS adalah contoh terbaik untuk bagaimana orang perlu hidup di bumi," kata angkasawan Rusia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 10:52 AM