HAZZAA tiba di ISS.
HAZZAA tiba di ISS.
AFP

BAIKONUR, KAZAKHSTAN: Seorang angkasawan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencipta sejarah sebagai angkasawan Arab pertama tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Hazzaa al-Mansoori bersama dua lagi angkasawan Oleg Skripochka dari Russia dan Jessica Meir dari Amerika Syarikat (AS) tiba di ISS semalam selepas berlepas dari tapak pelancaran di sini.

Mereka tiba di ISS menaiki pesawat angkasa Soyuz milik Russia dan perjalanan ke stesen itu mengambil masa selama enam jam.

“Ketiga-tiga mereka memasuki makmal yang mengorbit bumi dan disambut dengan gembira oleh enam kru yang lain,” kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di Twitter.

Di Dubai, orang ramai yang berkumpul di Pusat Angkasa Mohammed Bin Rashid bersorak kegembiraan ketika kapal angkasa Soyuz selamat dilancarkan.

Hazzaa yang dianggap sebagai hero negara akan tinggal di ISS selama lapan hari sebelum pulang ke bumi.

Dia menjadi rakyat UAE dan orang Arab pertama ke ISS tetapi dia bukanlah orang Islam pertama menjejak kaki ke stesen angkasa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 12:47 PM