PELANCARAN kapal Shenzhou-15. FOTO EPA
PELANCARAN kapal Shenzhou-15. FOTO EPA
AFP

Beijing: Kapal angkasa Shenzhou-15 yang membawa tiga angkasawan China malam tadi, selamat mendarat di stesen angkasa Tiangong, awal pagi ini.

Ketiga-tiga angkasawan itu berlepas dengan roket Long March-2F dari pusat pelancaran Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China, pada 11.08 malam tadi.

Agensi berita Xinhua yang memetik Pentadbiran Angkasa Bermanusia China (CMSA) melaporkan, misi itu akan melengkapkan penyerahan anak kapal pertama negara itu di orbit.

CMSA berkata, kapal itu yang membawa angkasawan veteran Fei Junlong dan dua angkasawan kali pertama, Deng Qingming dan Zhang Lu berjaya mendarat di stesen itu awal pagi ini.

Fei, 57, kembali ke angkasa lepas selepas 17 tahun selepas mengetuai misi Shenzhou-6 pada 2005.

Pasukannya akan menyertai tiga angkasawan lain di atas stesen angkasa Tiangong, yang sudah tiba pada awal Jun.

"Tanggungjawab utama untuk misi itu ialah mencapai penyerahan kru pertama di orbit, memasang peralatan dan kemudahan di dalam dan di luar stesen angkasa serta menjalankan eksperimen saintifik," kata jurucakap CMSA, Ji Qiming.

Stesen angkasa lepas Tiangong ialah permata mahkota program angkasa lepas Beijing yang mendaratkan kenderaan rover robotik di Marikh dan bulan, sekali gus menjadikan China muncul negara ketiga meletakkan manusia di orbit di samping Amerika Syarikat dan Rusia.

Modul terakhir Tiangong berjaya diselaraskan dengan struktur teras awal bulan ini menjadi satu langkah penting dalam persiapannya menjelang akhir tahun, kata media kerajaan negara itu.

Penganalisis angkasa lepas bebas China, Chen Lan menjangkakan China akan mengisytiharkan pembinaan stesen angkasa itu siap, semasa atau pada penghujung misi Shenzhou-15.

Selepas siap, stesen angkasa Tiangong dijangka mempunyai jisim 90 tan kira-kira satu perempat daripada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) atau saiz sama dengan stesen Mir yang dibina Soviet yang mengorbit bumi dari tahun 1980-an hingga 2001.

Tahun depan, Beijing merancang melancarkan teleskop angkasa Xuntian dengan pandangan 350 kali ganda daripada Teleskop Angkasa Hubble, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Amerika Syarikat (Nasa).

China dikecualikan daripada ISS sejak 2011 apabila Amerika Syarikat melarang Nasa daripada terbabit dengan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 11:07 AM