Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Sepasang kekasih berusia 25 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan bersama membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan gadis di bawah umur itu membunuh kanak-kanak berkenaan antara jam 8 pagi sehingga 2 petang di Felda Semenchu Teluk Sengat Kota Tinggi, antara 10 sehingga 23 Disember tahun lalu.

Mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang rekod pengakuan diambil.

Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, di mahkamah yang sama, kakak kandung mangsa bunuh berkenaan, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 20, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mendera adiknya itu di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang di sini sekitar November sehingga Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak lelaki itu, tertuduh menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam lebih kurang 10 pagi sehingga 10 malam pada tempoh berkenaan dan oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh yang diwakili

Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dalam pada itu, Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan tarikh 12 Januari ini supaya permohonan jaminan didengar di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 1:01 PM