Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Khamis lalu.

Tertuduh, Sembakavali, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap N Maha Letchumi.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di nombor 21 Jalan Tropika 14, Taman Bukit Tropika Yong Peng, pada jam 4.55 petang, 14 Julai lalu.

Sembakavali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini. FOTO ESSA ABU YAMIN
Sembakavali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini. FOTO ESSA ABU YAMIN

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sembavali yang memakai baju T berwarna merah dan berseluar hitam bercorak bunga kelihatan sugul diiringi anggota polis sebaik tiba diperkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 12:11 PM