ADINIA memegang watak sebagai Doktor Sekar dalam siri Mendua.
ADINIA memegang watak sebagai Doktor Sekar dalam siri Mendua.
Syafil Syazwan Jefri

Proses mengadaptasi sesuatu karya seni bukanlah mudah, lebih-lebih lagi sekiranya ia adalah karya yang diangkat daripada karya luar negara.

Terbaharu, negara jiran, Indonesia kini hadir dengan karya berjudul Mendua yang diadaptasikan daripada karya asal, Doctor Foster.

Ini bukanlah karya pertama yang diadaptasikan daripada naskhah ciptaan Mike Bartlett itu kerana sebelum ini, penonton sudah dapat melihat beberapa judul adaptasi sama dari beberapa negara antaranya The World of the Married dari Korea Selatan dan The Broken Marriage dari Filipina.

Dalam temubual bersama bintang utama Mendua, Adinia Wirasti di Singapura baru-baru ini, dia berkongsi bagaimana elemen tempatan disuntik ke dalam karya itu.

"Di Indonesia, ada satu kata-kata yang sering digunakan masyarakat iaitu 'bibit, bebet, bobot'. Bibit bererti benih, bebet bererti status sosial dan bobot bererti nilai yang dibawa.

"Dalam kata lain, tiga perkataan ini membawa erti dari mana asal usul anda, apa status sosial anda dan apa bekalan yang anda bawa bersama dalam kehidupan.

"Itu sangat Indonesia dan sesuatu yang tipikal. Bahkan, di Jakarta sendiri, contohnya di daerah-daerah seperti Jakarta Tengah, Timur dan Selatan, bahasa percakapannya juga berbeza," katanya.

Mengusung tema thriller psiko dalam karya asalnya, Adinia yang memegang peranan sebagai Doktor Sekar berkongsi mengenai bagaimana dia mendalami watak itu.

"Bercakap mengenai karya Mendua ini dan juga watak sebagai Doktor Sekar, apa yang penting adalah aspek dunianya dan bagaimana kita memperkenalkan watak itu dalam episod pertama.

"Bagaimana kita memperkenalkan keluarga serta orang-orang di sekelilingnya. Dari situ, kita akan dapat melihat perbezaan budaya yang ditampilkan berbanding karya asal iaitu Doctor Foster," katanya.

Adinia yang ditemui di acara Disney Content Showcase APAC 2022 di Singapura, baru-baru ini berkata, pengalamannya yang memiliki anggota keluarga yang bekerja dalam bidang kedoktoran menjadi sumber buatnya dalam mendalami watak itu.

"Proses mendalami watak sebagai doktor itu sebenarnya lebih menarik. Ada alasan tersendiri mengapa sekolah kedoktoran itu mengambil tempoh masa yang sangat lama.

"Dalam keluarga saya, ada beberapa anggota keluarga yang bergelar doktor, jadi saya tahu bagaimana mencabarnya kehidupan mereka.

"Pekerjaan apa sekali pun yang saya mainkan, penting untuk saya jalankan kajian. Walaupun ia bukanlah drama yang memfokuskan kepada dunia perubatan, tapi watak ini masih harus dikerjakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Menurutnya, dia tidak hanya memegang peranan itu dari episod pertama hingga kelapan saja, malah perlu memahami dunia kehidupan Doktor Sekar ketika sebelum dan selepas apa yang dipaparkan buat penonton.

ADINIA ketika hadir ke acara Disney Content Showcase APAC 2022 di Singapura, baru-baru ini.
ADINIA ketika hadir ke acara Disney Content Showcase APAC 2022 di Singapura, baru-baru ini.

"Watak yang saya mainkan iaitu Doktor Sekar bukanlah watak dari episod pertama hingga ke lapan saja. Bahkan, saya juga perlu melihat dari perspektif lebih luas, bagaimana watak itu sebelum dan selepas apa yang dipaparkan dalam episod yang ditayangkan. Ertinya, saya perlu mendalami bagaimana kehidupannya.

"Saya bertuah kerana skrip Mendua ini sudah ditulis dengan sangat baik. Hanya tinggal untuk saya jalankan analisa, kembangkan, mandatkan watak ini ke dalam bentuk visual sekali gus menjadi satu kerjasana semua pihak yang terbabit," katanya.

Berbicara mengenai kecurangan yang menjadi tema utama dalam karya ini, Adinia melihat tema itu dari sudut yang lebih luas dan terbuka.

"Bercakap mengenai kecurangan dan pengkhianatan, ia tak semestinya terhadap mereka yang bergelar isteri saja. Rasa dikhianati boleh dirasakan oleh kanak-kanak juga. Itu adalah emosi dan konflik manusia yang cukup luas.

"Ketika kita mendedahkan diri kita kepada manusia lain, kemungkinan untuk kita melalui fasa dicurangi atau dikhianati itu tentunya ada," katanya.

MENDUA jadi karya terbaharu dari luar negara diadaptasi, terima suntikan elemen tempatan untuk tayangan.
MENDUA jadi karya terbaharu dari luar negara diadaptasi, terima suntikan elemen tempatan untuk tayangan.

Menurut bintang berusia 35 tahun itu lagi, setiap manusia memiliki potensi untuk menjadi pengkhianat dan menjadi mangsa khianat.

"Saya sebagai manusia sentiasa berfikir bahawa kita semua ada potensi untuk mengkhianati dan menggunakan kuasa yang kita ada dan pada masa sama, setiap orang memiliki sensitiviti untuk menjadi mangsa khianat atau curang itu.

"Kita tarik semula dari zaman wayang, Drupadi dan Arjuna bertelingkah disebabkan apa? Sebab rasa dikhianati dan dicurangi kakaknya sendiri.

"Jadi, tema curang dan pengkhianatan ini bukanlah tema standard, tetapi memang ada di sekitar kita. Ini bukan saja pasal itu romantis, tetapi ada banyak lapisan-lapisan lain," katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesarnya dalam menjayakan watak sebagai Doktor Sekar dalam karya garapan sutradara Pritagita Arianegara itu, Adinia tidak menolak bahawa tanggapan terhadap diri sendiri sentiasa menjadi cabaran utamanya.

"Cabaran terbesar yang saya hadapi adalah untuk berlawan dengan tanggapan diri sendiri. Adakah saya perlu melakonkan watak seperti Doktor Foster? Tidak, sebab saya melakonkan watak sebagai Doktor Sekar. Tanggapan itu sebenarnya yang bahaya," katanya.

Menurutnya, dia perlu 'membuang' segala pemikiran lain dan terus memberikan tumpuan kepada Doktor Sekar serta dunianya.

"Ketika dalam proses pembangunan watak, saya tak boleh fikirkan mengenai rangka promosi dan sebagainya, sebaliknya, apa yang perlu saya fikirkan adalah, Doktor Sekar dan dunianya.

"Bagaimana reaksinya terhadap suami, anak, mentua, iparnya, bahkan reaksi terhadap sahabat-sahabatnya serta sesiapa pun yang berada di dalam dunianya.

"Jadi, apabila tanggapan sendiri, ditampal pula dengan hasil dari daerah lain (merujuk kepada karya asal, Doctor Foster serta karya-karya adaptasi dari negara lain), itu akan menjadi beban dan tak mungkin dapat saya kerjakan (lakukan)," katanya.

Selain Adinia, karya itu juga turut dibintang Chicco Jerikho, Tatjana Saphira, Morgan Oey, Ibrahim Risyad, Karina Salim, Bima

Azriel, Melissa Karim, Winky Wiryawan, Jolenee Marie, Widyawati Sophiaan dan Dennis Adhiswara.

Episod pertama Mendua akan mula ditayangkan di platform Disney+ Hotstar bermula 17 Disember ini.

(Penulis menemubual pelakon Indonesia, Adinia Wirastu di Disney Content Showcase APAC 2022 di Singapura, baru-baru ini.)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 7:00 AM