Combs
Combs
Agensi

Los Angeles: Penyanyi rap dan penerbit muzik, Sean ‘Diddy’ Combs dinobatkan penghibur termahal dunia, menggantikan bintang pop Taylor Swift yang jatuh ke tempat ke-49 dalam senarai tahunan Forbes.

Beyonce tersenarai di tempat kedua dengan AS$105 juta (RM447 juta) selepas albumnya ‘Lemonade laris dan kejayaan konsert jelajah dunianya.

Penulis dari Britain, JK Rowling (AS$95 juta - RM405 juta) kembali ke tiga tempat teratas hasil filem Fantastic Beasts and Where to Find Them iaitu rentetan daripada karya popularnya mengenai ahli sihir kanak-kanak, Harry Potter.

Combs, 47, memperoleh kira-kira AS$130 juta (RM554 juta) dalam tempoh 12 bulan yang berakhir 1 Jun lalu, lapor Forbes. Kejayaan itu hasil konsert kembaranya, Bad Boy Family Reunion Tour yang membawa pulangan daripada rangkaian pakaian Sean John keluarannya, selain kerjasamanya dengan syarikat minuman keras, Ciroc.

Tahun lalu dia tersenarai di tempat ke-22 dengan Taylor meraih kedudukan teratas dengan pendapatan AS$170 juta (RM724 juta) melalui penjualan album ‘1989’ dan konsert jelajah dunia.

Tahun ini, penyanyi berusia 27 tahun itu tidak menghasilkan album baru atau mengadakan konsert seterusnya melihat pendapatannya berkurangan kepada AS$44 juta (RM187 juta), menurut anggaran Forbes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 8:09 AM