FILEM biopik Madonna dikhabarkan terpaksa dibatalkan.
FILEM biopik Madonna dikhabarkan terpaksa dibatalkan.
Najiy Jefri


Penyanyi terkenal dunia, Madonna mengumumkan pembatalan filem biopik mengenai kisah hidupnya selepas projek itu dilaporkan tidak lagi disambung Universal Pictures.

Khabar sedih mengenai filem Ratu Pop itu turut menjadi bualan hangat peminat selepas Madonna berkongsi perkara itu ketika mengadakan konsert jelajah dunia di salah satu lokasi, baru-baru ini.

Menurut rakan baik Madonna, salah satu faktor pembatalan filem terbabit kerana penyanyi itu ingin memberi fokus kepada konsert jelajah dunianya.

Bagaimanapun, Madonna dilaporkan tetap menyimpan keinginan untuk mengarahkan filem mengenai perjalanan hidupnya satu hari nanti.

Sehingga kini, wakil Madonna dan Universal Pictures dikatakan masih menolak untuk memberikan komen mengenai pembatalan itu.

Pelakon, Julia Garner yang dikhabarkan akan memegang watak utama sebagai Madonna juga mengunci mulut mengenai dakwaan itu.

Projek filem biopik Madonna kali pertama diumumkan tiga tahun lalu dan masih berjalan sehingga hujung tahun lalu.

Difahamkan Madonna sudah menyiapkan dua draf sinopsis yang merangkumi detik-detik penting dalam kerjayanya serta kehidupan peribadi.

Sebelum ini Madonna memberitahu media yang dia tidak membenarkan pengarah lain mengarahkan biopik mengenainya kerana berasa kehidupan yang dilaluinya terlalu luar biasa.

FILEM biopik itu sepatutnya bakal bercerita mengenai kehidupan peribadi dan kerjaya seni Madonna.
FILEM biopik itu sepatutnya bakal bercerita mengenai kehidupan peribadi dan kerjaya seni Madonna.

Dia juga mengaku kerana hidupnya yang terlalu popular dan terkenal membuatkan ia 'sukar' difahami atau disampaikan dengan baik oleh orang lain.

"Saya mempunyai kehidupan yang amat luar biasa. Jadi, saya perlu menghasilkan filem yang lebih luar biasa," katanya.

Menerusi satu temubual, Madonna berkata, proses pembikinan biopik itu berjalan dengan agak 'gila'."

Saya dalam proses menulis dan baru memutuskan bahagian cerita yang mana untuk saya tulis dan watak yang mahu dipersembahkan.

"Ia memang proses yang panjang, tetapi menjadi terapi yang menyenangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:37 AM