LOVELLY (kanan) ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022. FOTO BERNAMA
LOVELLY (kanan) ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet karate wanita negara, Lovelly Anne Robberth tidak mahu terus terbuai dengan kejayaan meraih dua pingat perak pada Sukan Asia Hangzhou 2022 lepas, sebaliknya bertekad meletakkan sasaran tinggi bagi melonjakkan ranking dunianya.

Atlet berusia 20 tahun dari Penampang, Sabah itu berkata beliau kini berada di kedudukan ke-81 dunia berdasarkan ranking Persekutuan Karate Dunia (WKF), justeru mengimpikan untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia.

"Memandangkan karate tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik Paris 2024, sasaran saya kini adalah untuk melonjakkan ranking dunia. Banyak kejohanan besar perlu disertai untuk saya capai sasaran itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pelajar jurusan Diploma Kecergasan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu bagaimanapun mengakui tidak mahu bertindak terburu-buru sebaliknya meletakkan tempoh lebih setahun bagi merealisasikan sasaran itu.

"Bukan tugas mudah, pada tahun ini hanya dua kejohanan besar yang saya akan sertai iaitu Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) di Thailand pada bulan ini dan Kejohanan Karate Asia (AKF) di China pada September.

"Apa pun ia tidak patahkan semangat saya dan saya mahu kekal fokus untuk meraih podium pada dua kejohanan itu," katanya.

Pada Sukan Asia 2022, Lovelly Anne mencipta sensasi tersendiri menamatkan penantian 13 tahun kem karate negara untuk menaiki podium dalam acara kata wanita, sejak kali terakhir dilakukan Lim Lee Lee yang merangkul gangsa pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Pencapaian itu membolehkan beliau menyamai pencapaian pingat perak yang dimenangi Lee Lee pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Lovelly Anne juga menyumbang satu lagi pingat perak acara kata berpasukan wanita bergandingan bersama Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil pada temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 7:02 PM