AMELINA
AMELINA
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dangdut, Amelina, 48, selesa dengan kehidupan sebagai ibu tunggal sekarang dengan tidak terlalu memikirkan soal jodoh dan menyerahkan semuanya kepada ketentuan takdir.

Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin berkata, hampir tujuh tahun hidup solo, dia kini tidak begitu berbicara soal jodoh kerana sudah sangat selesa dengan rezeki dan kariernya yang begitu sibuk.

"Memang tiada cerita apa sangat mengenai jodoh, saya dah terlalu 'busy' (fikir) untuk fikir benda-benda lain.

"Lagi satu, dalam jodoh ini kalau tidak orang yang pilih kita, jadi kita juga yang kena memilih orang. Semua itu, kira maknanya yang nak pula orang macam saya dengan ada trauma dalam rumah tangga selama 15 tahun, itu sudah cukup pahit buat saya kenang.

"Apatah lagi, jika saya hendak mengulangi semula kegagalan dan mengulangi semula kehidupan yang derita itu, memang tidaklah. Saya akan cuba mencari yang terbaik untuk saya agar tidak merasai lagi perkara-perkara itu semua," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amelina, sekiranya Allah mengatakan dia bahagia hidup seorang, tidak mengapa baginya tiada jodoh lagi. Tapi, seandainya jika masih ditemukan dengan seseorang yang boleh membahagiakannya, Insya-Allah akan datang juga nanti.

Mengulas kriteria lelaki pilihannya, Amelina berkata, sama seperti wanita-wanita lain, dia juga ingin dipertemukan dengan pasangan terbaik dan berkemampuan.

Amelina yang popular dengan lagu Memori Daun Pisang dan Asyik pernah berkahwin dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999, tetapi bercerai pada 19 Jun 2016.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur' Athirah, 21; Putera Al' Affiq, 20; Putera Al' Asyraff, 19; Puteri Nur' Asyurah, 17; Putera Al' Arffa, 15; dan Putera Al' Amzar, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 3:18 PM