KINI memparodikan lagu popularnya sebagai motivasi kepada masyarakat.
KINI memparodikan lagu popularnya sebagai motivasi kepada masyarakat.
Ridzuan Abdul Rahman


DUA tahun melalui kesukaran hidup akibat pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menggusarkan Amelina yang juga digelar Ratu Dangdut Malaysia.

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin mengakui dia bersama enam anak sebelum ini hanya menyara hidup menggunakan wang simpanan.

"Saya sudah biasa hidup susah dan selepas bercerai terasa amat perit nak besarkan enam anak. Selama tujuh tahun saya hidup tanpa bantuan sesiapa.

"Syukur dengan bakat yang Allah bagi, dapat saya cari rezeki untuk anak-anak dan menyimpan. Maklumlah karier artis bukan bergaji tetap. Tapi, siapa yang tak risau apabila simpanan makin menyusut sedangkan Covid-19 belum berakhir. Ia buat semua kerja saya terhenti. Saya dah buntu dan hilang kata-kata kerana ia bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia," katanya.

Menurutnya, dia sukar membayangkan bagaimana nasib mereka yang kehilangan pekerjaan, bergaji kecil serta mempunyai bilangan keluarga yang ramai melalui situasi sukar ini.

"Saya letakkan diri saya di tempat mereka dan boleh rasa kesusahan mereka. Untuk diri sendiri, saya tak boleh mengalah begitu sahaja.

"Selagi termampu saya akan berusaha dan akhirnya tercetus idea untuk berniaga dari rumah. Saya bertuah kerana mahir buat nasi minyak 'power' dan nasi ayam. Jadi, saya dibantu dua anak serta adik-adik angkat akan buat menu ini untuk jualan," katanya.

Menurutnya, buat masa ini dia hanya menetapkan Selasa untuk tempahan nasi ayam, manakala Khamis dan Jumaat pula nasi minyak.

"Selalunya waktu malam kami dah buat 'rewang' siapkan bahan-bahan untuk dimasak esoknya. Selepas solat Subuh saya terus masak nasi dan lauk-pauk untuk tempahan. Tempahan ini perlu siap sebelum jam 10 pagi kerana 'runner' saya akan menghantar kepada pelanggan.

BERSAMA menu tempahan pelanggannya.
BERSAMA menu tempahan pelanggannya.

"Saya suka mencuba, setiap Sabtu dan Ahad saya akan cuba untuk pelbagaikan rasa ayam untuk menu nasi ayam. Kadang-kadang nasi ayam saya bagi ayam hainan dan ayam berempah," katanya.

Biarpun tempahan menggalakkan, Amelina hanya mampu menyiapkan 50 pek tempahan dan paling kurang 30 pek tempahan setiap hari.

"Itu dah memadai kerana saya tak mampu nak buat banyak. Alhamdulillah, rezeki saya sebagai ibu tunggal. Ramai yang beli dan hanya ambil dua pek dan selebihnya mereka minta disedekahkan. Dalam mereka bersedekah, saya turut melebihkan nasi bagi sedekah daripada saya pula.

"Saya kuat sebab ramai yang memberi sokongan moral. Bukan saja kawan-kawan yang menempah makanan saya, malah ada peminat dari Singapura yang tempah untuk panjangkan sedekahnya. Ada juga ibu dari Pulau Pinang yang tempah untuk anaknya dan rakan-rakannya yang bertugas sebagai

'frontliner' dan tempahan untuk tunang tersayang," katanya.

AMELINA bersama anak-anaknya ketika Aidilfitri 2019.
AMELINA bersama anak-anaknya ketika Aidilfitri 2019.

Selain itu, Amelina kini terpaksa berjauhan dengan empat anaknya yang kini bersekolah dan tinggal bersama ibunya di Nilai, Negeri Sembilan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan.

Dia bahagia bersama enam anaknya iaitu Puteri Nur Athirah, 20, Putera Al Affiq, 19, Putera Al Asyraff, 18, Puteri Nur Asyurrah, 16, Putera Al Arffa, 14, dan Putera Al Amzarr, 12.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan masakannya boleh menghubungi menerusi WhatsApp di talian 019-8915509.

Dalam perkembangan lain Amelina turut menghasilkan lagu popularnya dalam bentuk motivasi kepada masyarakat.

"Saya orang seni dan bila PKP macam ini banyak pula idea yang datang. Itu sebabnya banyak lagu lama saya tukar liriknya untuk bagi motivasi pada peminat.

"Lagu Memori Daun Pisang ditukar tajuk Memori Lockdown. Manakala lagu yang Sedang-Sedang Saja ditukar kepada Jadi Kosong-Kosong Saja. Peminat boleh menonton menerusi Amelina V'Channel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 6:31 AM