Redzuan Muharam


Klang: Ridhwan Fadhil Mat Radzi bukanlah jurulatih mahupun pemain badminton profesional namun pengetahuannya mengenai sukan itu luas.

Bukan hanya tahu teknik asas bermain malah Ridhwan Fadhil, 31, juga arif banyak aspek mengenai raket dan bulu tangkis iaitu peralatan wajib ada dalam sukan badminton.

Pengetahuan yang ada juga tidak disia-siakan sebaliknya dikongsikan menerusi platform TikTok miliknya, padilbadminton.

Bercerita lanjut, Ridhwan Fadhil yang menetap di Bukit Kapar, di sini berkata, dia bekerja sepenuh masa sebagai pengurus jabatan di sebuah syarikat menjual peralatan sukan dekat Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, pekerjaan itu memberi peluang untuknya belajar dan tahu banyak perkara mengenai peralatan sukan hingga berasa terpanggil untuk berkongsi ilmu di TikTok walaupun sedar dirinya bukan sesiapa.

"Saya meminati sukan badminton sejak masuk ke sekolah asrama iaitu ketika di tingkatan satu dan akui tidak handal bermain tetapi ada pengalaman menyertai kejohanan malah kini menyertai program bakat muda.

RIDHWAN Fadhil Mat Radzi. FOTO IHSAN RIDHWAN FADHIL MAT RADZI
RIDHWAN Fadhil Mat Radzi. FOTO IHSAN RIDHWAN FADHIL MAT RADZI

"Saya dapati kebanyakan perkongsian video (content) berkaitan badminton dalam bahasa Inggeris.

"Jadi, isteri (Norlailiza Ahmad, 30) beri galakan untuk kongsi ilmu yang ada berkaitan badminton dalam bahasa Melayu supaya lebih mudah difahami," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ridhwan Fadhil berkata, kebanyakan perkongsian video dimuat naik di TikTok adalah berdasarkan permintaan pengikut yang bertanya soalan di ruangan komen.

Jadi, dia cuba menerangkan dan memberi tunjuk ajar menerusi video bagi menjawab kemusykilan pengikutnya.

"Pandangan atau ulasan saya di TikTok khususnya mengenai spesifikasi raket dan bulu tangkis adalah berdasarkan ilmu serta pengalaman sepanjang bekerja .

"Perkongsian teknik bermain pula berdasarkan ilmu saya dapat daripada jurulatih profesional serta pengalaman ketika menjadi pembantu jurulatih sambilan untuk pemain junior satu ketika dulu.

"Kebanyakan pengikut saya adalah mereka yang baru aktif dan mahu mencari rentak bermain badminton. Rata-ratanya (pengikut) memberi balas positif dan saya tak sangka dapat mengumpul hampir 30,000 pengikut walaupun baru buka akaun TikTok awal bulan lalu," katanya.

Menurut Ridhwan Fadhil, dia akan terus berkongsi ilmu yang ada dengan pengikut selagi diterima baik dan mahu mempelbagaikan lagi kandungan video.

"Jujurnya, saya puas setiap kali dapat berkongsi ilmu dengan pengikut dan berharap perkongsian itu memberi manfaat jangka panjang buat mereka.

"Ada kalanya penat juga untuk menghasilkan video kerana masih terikat dengan tugas hakiki namun isteri yang banyak beri semangat untuk saya lakukannya," katanya yang merancang membuka kedai badminton sendiri dalam tempoh dua tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 7:28 PM