Redzuan Muharam

Jerantut: Berkelana lapan bulan di Kuala Lumpur menjalani latihan, berlanjutan pula meneruskan kerjayanya sebagai petugas barisan hadapan di Kulai Johor, tentunya bukan mudah buat Mohd Zifaizal Abdul Kadir yang terpaksa berpisah dengan isteri tercinta dan tiga anaknya.

Justeru, saat kembalinya pegawai polis berusia 34 tahun itu ke pangkuan keluarga, isterinya, Muna Adira Rusli, 33, tidak mahu ia dibiarkan 'kosong' apabila mencipta 'kejutan' buat anak yang terlalu merindui bapa mereka.

Mana tidaknya, setiap hari anaknya akan memangkah tarikh di kalendar untuk menghitung hari kepulangan bapa mereka membuatkan Muna Adira tekad mahukan kepulangan suaminya itu menjadi hari yang istimewa buat anaknya.

Pada 27 Ogos lalu, ketika Mohd Zifaizal kembali ke rumah keluarganya di Taman Mawar, Muna Adira berpakat dengan meminta suaminya berpura-pura menjadi penghantar makanan dan sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan tiga anaknya yang berusia antara dua hingga 8 tahun kerana mahu memberi mereka kejutan.

"Sepatutnya, suami tamat latihan pada 27 September ini tetapi habis sebulan awal jadi dia mahu habiskan cuti yang ada untuk bertemu saya dan anak.

"Anak tidak tahu perancangan suami untuk pulang kerana hanya ingat ayah mereka tamat latihan pada hujung bulan ini.

"Kebetulan, saya kerap memesan makanan jadi minta suami ke rumah dan berlakon sebagai penghantar makanan supaya kepulangannya tidak disedari anak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

RAKAMAN video dimuat naik Muna Adira yang tular di TIkTok. FOTO Ihsan Muna Adira Rusli
RAKAMAN video dimuat naik Muna Adira yang tular di TIkTok. FOTO Ihsan Muna Adira Rusli

Muna Adira berkata, menyedari 'penghantar makanan' itu tidak beredar dari kawasan rumah, anak sulungnya, Afif Jazimin, 8, yang berada di depan pintu kehairanan.

"Bagaimanapun, Afif beranikan diri membuka pelitup muka suami sebelum mengetahui yang datang itu sebenarnya adalah ayahnya.

"Saya jadi sebak apabila melihat Afif dan dua anak lain memeluk suami. Nampak sangat anak saya terlalu rindukan ayah mereka," katanya yang mencari pendapatan sampingan dengan menjadi ejen pesan hantar (dropship) baju kurung.

Menurut Muna Adira, suaminya hanya dapat menghabiskan masa bersamanya dan anak selama seminggu saja dan sudah dihantar bertugas di Polis Kontinjen Johor.

"Walaupun pertemuan kami tempoh hari agak singkat, namun saya bersyukur kerana dapat bertemu semula dengan suami selepas berbulan duduk berjauhan.

"Cuma, anak menangis selepas tahu ayah mereka akan menyambung tugas kerana masih tidak berpuas untuk bermanja.

"Ini kerana sepanjang lapan bulan, saya dan anak hanya dapat berhubung dengan suami menerusi panggilan telefon saja.

"Itu pun bermula April dan pada hujung minggu saja kerana jadual suami padat dengan latihan.

"Apa pun, saya bersyukur suami dapat harungi dugaan sepanjang di kem hingga berjaya menamatkan latihan dan kini bergelar Inspektor," katanya.

MOHD Zifaizal dan Muna Adira bersama tiga anak mereka. FOTO Ihsan Muna Adira Rusli
MOHD Zifaizal dan Muna Adira bersama tiga anak mereka. FOTO Ihsan Muna Adira Rusli

Berhubung video dimuat naiknya di TikTok, Muna Adira tidak menyangka ia akan tular dan meraih tontonan tinggi dalam tempoh singkat.

"Saya ada juga muat naik video itu di Facebook (Fb) tetapi hanya rakan dan kenalan terdekat dapat menontonnya.

"Pada masa sama, saya muat naik juga video itu di TikTok untuk kenangan dan terkejut apabila ramai menonton dan tersentuh dengan video itu.

"Ada juga segelintir yang persoalkan kenapa suami tidak mandi dulu sebelum memeluk anak.

"Hakikatnya suami sudah berbuat demikian di rumah adik yang tinggal berhampiran sebelum pulang bertemu saya dan anak," katanya.

Video kepulangan Mohd Zifaizal sempat dirakam Muna Adira sebelum dimuat naik di TikTok, tengah hari semalam yang sehingga kini meraih lebih 380,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 9:06 PM