Pemain JDT, Bergson cuba melepasi kawalan pemain KL City FC, Arif Shaqirin pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Pemain JDT, Bergson cuba melepasi kawalan pemain KL City FC, Arif Shaqirin pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar rekod tersendiri selepas mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut apabila menewaskan KL City FC 2-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga memeriahkan lagi sambutan kejuaraan liga yang diadakan di perkarangan stadium berkenaan yang menyaksikan kesemua pemain dan kejurulatihan JDT diarak bersama piala liga menggunakan bas khas mengelilingi perkarangan stadium.

Pada pertembungan itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 berpunca daripada sepakan jauh Shane Lowry tepat kepada Nazmi Faiz Mansor yang sempat mengawal bola di dalam kotak penalti sebelum merembat leret ke penjuru kiri menewaskan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza.

Namun anak didik Bojan Hodak bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-25 menerusi gerakan set piece yang menarik berpunca daripada sepakan sudut Safee Sali yang menolak kepada Arif Shaqirin Suhaimi sebelum bertindak pantas melakukan backheel membolehkan Izreen Izwandy merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat tampak kerap mengasak ke kubu tuan rumah dalam usaha menambah jaringan namun anak didik Benjamin Mora juga tidak mahu ketinggalan bagi memburu jaringan tatkala kedua-dua pasukan mendambakan kemenangan pada perlawanan itu.

Malang buat pasukan pelawat selepas menghadiahkan gol pada minit ke-69 apabila Nik Mohd Shahrul Azim tertampan bola rembatan pemain gantian Safiq Rahim di luar kotak penalti yang menyaksikan Mendoza sekadar melihat bola menerjah jaring.

Bagaimanapun, kelibat Bergson Da Silva yang dipertaruhkan untuk mencipta jaringan tampak sepi mengemudi jentera serangan selepas pemain import dari Brazil itu dikawal rapi dan beberapa peluang yang dimiliki kerap dipatahkan benteng pelawat.

Dan kedudukan 2-1 yang memihak skuad Harimau Selatan kekal sehingga tamat bagi juara lapan musim berturut-turut berpesta bersama penyokong pasukan itu yang berada di luar stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 11:11 PM