BERGSON cemerlang letak hatrik. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERGSON cemerlang letak hatrik. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Jaringan hatrik Bergson Da Silva menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) dimahkotakan juara Liga Super untuk musim kelapan berturut-turut selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Benjamin Mora berjaya menghimpun 51 mata walaupun berbaki dua perlawanan lagi dan sukar untuk dipintas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) yang terpaksa merelakan kejuaraan liga milik skuad Harimau Selatan.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah beraksi dengan permainan berintensiti tinggi apabila menguasai kawasan tengah menerusi gandiingan Safiq Rahim dan Leandro Velazquez yang kerap menjana gerakan berbahaya ke kubu skuad Tok Gajah.

Penguasaan itu memberi kelebihan buat anak didik Mora apabila seawal minit kelapan berjaya merobek gawang skuad kendalian Dollah Salleh selepas Bergson bertindak menggelecek dua pemain pelawat sebelum merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Muhammad Daniel Wafiuddin Sa'duri.

Bergson sekali mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-41 selepas melambungkan bola memerangkap Muhammad Daniel yang sekadar melihat bola menerjah jaring berpunca daripada bola umpanan Safiq Rahim di kawasan tengah padang.

Muhammad Daniel tewas buat kali ketiga apabila Bergson mencipta hatrik pada minit ke-44 selepas meledak jaringan berpunca daripada bola umpanan Gonzalo Cabrera dan jaringan itu membolehkan beliau mengumpul 23 gol untuk memintas pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun yang menghimpun 22 jaringan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-48 namun percubaan Arif Aiman Hanafi yang sempat menyentuh bola tatkala dicabar Muhammad Daniel hanya sekadar sipi dari gawang gol.

Bergson hampir menambah jaringan keempat peribadi pada minit ke-61 namun bola rembatan deras di dalam kotak penalti hasil umpanan Natxo Insa sekadar terkena palang gol.

Pelawat yang ketinggalan 0-3 berusaha memburu gol namun ketumpulan barisan serangan yang diterajui Kenny Athiu memudahkan tugas benteng skuad Harimau Selatan menghalang gerakan skuad Tok Gajah itu.

Malah peluang terbaik untuk mencipta gol pada minit ke-83 menerusi bola sepakan percuma Manuel Hildago dari jarak 25 meter gagal mengundang cemas sebaliknya terus kedakapan penjaga gol, Farizal Marlias dan kedudukan 3-0 hasil jaringan Bergson kekal memihak JDT untuk menjulang kejuaraan liga kali kelapan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 11:03 PM