SUSPEK warga Vietnam yang diberkas selepas dikesan mencuri khazanah negara berbekalkan alat GPS.
SUSPEK warga Vietnam yang diberkas selepas dikesan mencuri khazanah negara berbekalkan alat GPS.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Guna teknologi satelit bagi mengenal pasti lokasi sasaran dan menceroboh masuk hutan simpan negara bertujuan mencuri kayu gaharu serta menangkap haiwan liar dilindungi.

Taktik itu dikesan susulan penemuan alat navigasi peta Global Positioning System (GPS) milik seorang lelaki warga Vietnam yang diberkas di sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek warga asing berusia 30-an itu diberkas di sekitar belukar di Felda Mengkawang, Ajil, Terengganu jam 11 pagi kelmarin.

Menurutnya, suspek yang memiliki pasport dan memasuki negara ini sebagai pelancong dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Sebaik ditahan, pegawai Perhilitan merampas tiga guni kecil dan tiga guni besar dibawa suspek di dalam belukar berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui kayu gaharu, pelarik gaharu, kapak bertanda, lembing, alat pemotong dan gulungan dawai," katanya.

Selain itu menurutnya, pegawai Perhilitan turut menemui misai harimau dan bahagian disyaki hidupan liar.

"Turut ditemui adalah alat GPS milik suspek dipercayai digunakan suspek untuk mengenal pasti lokasi hutan simpan serta laluan keluar masuk dari kawasan.

"Susulan itu suspek ditahan dan semua barangan miliknya dirampas untuk siasatan lanjut untuk siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010( Akta 716) ," katanya.

Sebelum ini 12 lelaki warga Vietnam yang juga pemburu haram profesional pasukan taktikal khas Special Protected Area Response Team (Sparta) (Perhilitan) hasil beberapa serbuan di Dungun, Terengganu.

Mereka disifatkan amat kejam apabila membunuh pelbagai spesies hidupan liar dilindungi antaranya tenggiling, tapir, buaya, memerang, musang, landak raya, babi hutan dan pelbagai haiwan lain.

Suspek juga dipercayai terbabit dengan aktiviti mencuri kayu gaharu di dalam hutan simpan negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 7:50 AM