KHEMAH transit  yang digunakan pemburu haram.
KHEMAH transit yang digunakan pemburu haram.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PEMBURU haram warga asing dikesan masuk ke negara ini melalui laluan sah sebelum menyelinap ke dalam hutan melalui lebuh raya untuk memburu haiwan dilindungi dan mengambil kayu gaharu.

Malah, pemburu haram terdiri warga Kemboja dan Vietnam itu turut membawa ratusan jerat dan peralatan mengutip gaharu serta khemah untuk berkampung tiga bulan di dalam hutan.

Semua hasil pemburuan yang diperoleh seperti gading, kulit harimau, sisik tenggiling, bulu burung kuang, daging babi salai dan kayu gaharu akan dijual kepada warga tempatan.

Bagaimanapun, kegiatan licik mereka tumpas selepas diserbu anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Perak dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam Operasi Bersepadu Khas bermula 10 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, pihaknya menahan tujuh pemburu haram warga asing dan tiga rakyat tempatan bersama pelbagai bahagian haiwan liar dan kayu gaharu bernilai RM908,000 dalam empat serbuan.

“Serbuan dilakukan di kawasan hutan antaranya Felcra Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang, Kampung Padang Kunyit, Gerik, Perak, Hutan Simpan Taman Negara Endau-Rompin dan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan di Felcra Sungai Temau pada 10 Oktober lalu bersama kulit harimau, sisik tenggiling, duri landak dan siong,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menahan dua lelaki tempatan di Kampung Padang Kunyit pada 11 Oktober lalu dan merampas lima burung pelbagai spesies, seikat bulu burung kuang serta 25 kilogram (kg) kayu gaharu.

Katanya, tangkapan seterusnya dibuat dengan kerjasama Persatuan Konservasi Hidupan Liar (WCS) di Taman Negara Endau-Rompin pada 16 Oktober lalu.

“Polis menyerbu khemah transit haram dan menahan seorang lelaki warga Kemboja, sekali gus merampas 162 jerat nilon, satu kilogram kayu gaharu dan empat bahagian daging babi salai.

“Pihak kami turut merampas lima kapak dan parang serta satu alat mengambil kayu gaharu,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menyerbu khemah transit di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada Ahad lalu yang membawa kepada penahanan enam lelaki warga Kemboja bersama satu gading, empat bulu burung kuang, dua rantai taring dan satu cengkerang kura-kura.

“Tujuh alat pencuci gaharu, 12 kapak dan parang turut dirampas daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, pasukan Senoi Praaq berada dalam hutan hampir sebulan untuk menjejaki pemburu haram terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:50 AM