SETIAUSAHA Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim. FOTO arkib NSTP
SETIAUSAHA Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Menyerap ratusan ribu pelarian etnik Rohingya sebagai tenaga kerja asing dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) khususnya perladangan adalah lebih menguntungkan negara buat masa ini berbanding membawa masuk pekerja asing baru dari luar negara.

Pandangan itu diluahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim yang menyifatkan etnik itu adalah sumber manusia sedia ada yang perlu dimanfaatkan.

Beliau berkata, ia adalah pilihan lebih baik daripada sumber manusia membabitkan etnik Rohingya itu menjadi pembaziran seterusnya menjadi beban kerana tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada negara.

"Keutamaan untuk bekerja di negara ini memanglah perlu diberikan kepada warga Malaysia. Malangnya tidak ramai warga Malaysia berminat bekerja dalam sektor 3D.

"Itu memang kita kena terima hakikat. Antara sebabnya kerana syarikat perladangan belum lagi optimum menggunakan sistem teknologi canggih dengan kepakaran tempatan.

"Masih banyak lagi menggunakan kaedah lama atau tradisional yang menyebabkan orang Malaysia tidak berminat bekerja dalam sektor itu. Kita tiada pilihan daripada kita mengambil atau membawa masuk buruh asing baru dari luar negara, ia akan menambahkan lagi jumlah warga asing di Malaysia sedangkan warga Rohingya sedia ada di sini," katanya.

Beliau berpandangan, membenarkan dan menyerap Rohingya bekerja juga boleh menjimatkan kos tinggi yang majikan terpaksa tanggung seperti bayaran levi, kelulusan membawa masuk tenaga kerja asing baru dari luar negara serta membayar kepada ejen pekerja asing.

Menurutnya, jika pelarian Rohingya dibenarkan bekerja ia juga boleh memperkukuhkan perbelanjaan domestik kerana mereka berbelanja dalam negara untuk keluarga mereka yang berada di sini dibandingkan pekerja asing yang menghantar lebih separuh gaji untuk keluarga di negara asal.

"Katalah kita bawa masuk pekerja asing baru dari Bangladesh. Gajinya RM2,500 contohnya, dia akan berbelanja RM800 kemudian selebihnya akan dihantar kepada keluarga di negara asal, jadi ringgit Malaysia akan mengalir keluar dari negara.

"Ini boleh menyebabkan ekonomi kita kurang mampan apabila berlakunya pengaliran tunai ke luar negara. Sedangkan masyarakat Rohingya jika kerja di Malaysia, wang gaji mereka akan dibelanjakan untuk keluarga mereka di sini yang sudah pun berakar umbi. Jadi ekonomi kita mampan apabila aliran tunai domestik berlaku dalam sektor peruncitan dan sebagainya. Akhirnya menguntungkan rakyat Malaysia dan negara kita juga," katanya.

Beliau yang juga aktivis sosial berkata, membawa pekerja asing baru dalam jumlah besar turut akan menyumbang masalah sosial kerana mereka akan menghadapi kejutan budaya sebab belum biasa bergaul dengan penduduk tempatan.

"Apa pun kita jangan cakap benda yang tak ada, kita cakap benda yang ada dulu. Pada saya daripada membawa masuk pekerja asing baru adalah lebih bagus menggunakan pakai tenaga kerja sudah ada di Malaysia bermaksud di sini ialah masyarakat Rohingya.

"Berikan mereka pas kerja sementara khusus untuk sektor perladangan. Ia juga supaya mereka tidak terbabit dalam aktiviti perniagaan contohnya berniaga di pasar Selayang yang akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat tempatan," katanya.

Beliau turut berpandangan, bukannya kerajaan Malaysia tidak mahu mengusir pelarian Rohingya namun masalahnya tiada negara penerima termasuk kerajaan Myanmar yang tidak mengeluarkan dokumen perjalanan untuk mereka dihantar pulang kerana etnik berkenaan tidak diiktiraf sebagai warga negaranya.

Malah, katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun tidak dapat mencari negara ketiga untuk menerima etnik Rohingya berkenaan.

"Kalau kita nak hantar pulang nak usir, mestilah kena ada negara penerima. Takkanlah kita nak buang tengah laut. Kita tiada pilihan, kita memang nak usir tetapi tidak ada negara penerima.

"Jadi daripada pelarian Rohingya ini menjadi beban di dalam negara kita, lebih baik benarkan mereka bekerja," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, situasi mendesak isu kekurangan pekerja yang dianggap semakin menekan golongan majikan di negara ini mewajarkan kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan etnik Rohingya bekerja bagi mengisi jurang berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, ini masa sesuai untuk memberi kebenaran kepada pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) termasuk pemegang kad UNCHR yang sah, diambil bekerja.

"Buat masa ini, Malaysia menghadapi isu kekurangan pekerja yang kronik. Negara memerlukan sekurang kurangnya 1.2 juta pekerja dalam industri pembuatan (627,000), perladangan (120,000) dan pembinaan (550,000)," katanya.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan sedia membantu pelarian Myanmar, khususnya etnik Rohingya mengikuti latihan kemahiran ke arah memastikan warga negara berkenaan berkemahiran dalam bidang tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 5:45 PM