GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bukit Aman akan meneruskan operasi bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi warganegara asing termasuk etnik Rohingya.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus ketika diminta mengulas laporan agensi berita antarabangsa, BBC News Indonesia.

Semalam BBC melaporkan, pelarian Rohingya yang tinggal di Malaysia mengaku membayar RM6,000 kepada penyeludup untuk keluar dari Aceh, Indonesia untuk diseludup ke negara ini.

Fadil berkata, pihaknya mengambil maklum kemungkinan terdapat warga Rohingya cuba diseludup ke negara ini dari Indonesia.

"PDRM akan meneruskan operasi untuk mengawal sempadan dari dibolosi oleh warganegara asing bagi mencegah aktiviti haram penyeludupan migran melalui jalan tidak sah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadil berkata, seramai 5,657 migran dan 1,153 tekong berjaya ditahan kerana terbabit dengan jenayah penyeludupan migran sejak 2019 hingga 31 Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 2,610 migran dan 223 tekong dari Indonesia ditahan.

"Dalam operasi dijalankan, PDRM memperhebatkan tindakan pencegahan penyeludupan migran dengan menangkap kumpulan sindiket yang mengatur kemasukan migran atau pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Mereka ini termasuklah tekong, ejen dan penyedia rumah penampungan migran yang diseludup keluar dan masuk ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, tangkapan tekong itu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) di mana sekiranya disabitkan kesalahan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya.

"Untuk membanteras jenayah penyeludupan migran dengan lebih berkesan, PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasan lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja.

Tambahnya, PDRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis yang berdekatan atau melaporkan melalui Chatbot di laman Facebook Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, emel [email protected] dan talian 03-8000 8000," katanya.

Semalam, BBC News Indonesia mendedahkan pengakuan diperoleh melalui saudara terdekat seorang pelarian yang berjaya meloloskan diri dari Indonesia ke Malaysia.

Agensi berita itu turut merakamkan kelibat dua wanita Rohingya dilihat mendekati pintu pagar yang menutup bahagian belakang perkampungan sementara mereka di Lhokseumawe, Aceh.

Kejadian itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang sengaja dipasang oleh Organisasi Internasional untuk Imigran (IOM) untuk mengawasi pelarian Rohingya berikutan semakin ramai warga itu melarikan diri.

Tertera di video aksi dua wanita itu dilakukan pada 10 Februari lalu, jam 7.07 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, rakaman CCTV yang diperoleh BBC News Indonesia itu terputus sebaik kedua-duanya berjaya meloloskan diri daripada pagar.

Dilaporkan, Khamis lalu seramai 31 pelarian Rohingya berjaya melarikan diri dari Balai Latihan Kerja (BLK) Kandang, yang terletak di Muara Dua, Bandar Lhokseumawe, Wilayah Aceh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 4:02 PM