M Saravanan. FOTO BERNAMA
M Saravanan. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Kajang: Kementerian Sumber Manusia menunggu kajian dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mewujudkan peluang pekerjaan buat etnik Rohingya di negara ini atas faktor keselamatan.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara membabitkan keselamatan negara perlu diperhalusi sepenuhnya dan tiada kompromi berhubung perkara itu.

"Saya faham kita terdesak (perlukan pekerja asing), tetapi kita tidak boleh kompromi dengan keselamatan.

"Akta mengatakan pelarian ini (etnik Rohingya) masuk ke Malaysia dalam masa beberapa tahun mereka perlu dihantar ke negara ketiga, tapi setakat ini saya tak lihat mana-mana negara ketiga sanggup menerima," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu jemputan dalam Program Diskusi Minda TV: Isu Pekerja Asing di Malaysia, Apa Penyelesaiannya anjuran Majlis Profesor Negara hari ini.

Saravanan berkata, isu pekerja asing perlu dikawal secara holistik dalam usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran rakyat tempatan untuk mengisi jawatan dalam sektor tertentu.

"Saya serahkan kepada KDN untuk mengkaji dengan lebih mendalam.

"Jika kita buat secara terbuka, lebih ramai (etnik Rohingya) akan datang. Saya difahamkan, ada kapal di perairan antarabangsa sudah berada berbulan-bulan, sekelip mata boleh masuk (ke Malaysia)," katanya.

Menerusi forum itu juga, Saravanan turut menegaskan perkara itu masih diperhalusi dan diteliti di peringkat KDN untuk meluluskan cadangan dan gesaan beberapa pihak itu.

"Pada masa sama kita tidak boleh menggalakkan mereka (bekerja), takut jumlah mereka bertambah.

"Perkara ini pernah dibangkitkan di Parlimen, ada menteri jawab ini akan menggalakkan lebih ramai masuk ke Malaysia, tetapi ketika itu jumlah mereka hanya 20,000 hingga 45,000 orang saja, sekarang hampir mencecah 200,000 orang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, situasi mendesak isu kekurangan pekerja yang dianggap semakin menekan golongan majikan di negara ini mewajarkan kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan etnik Rohingya bekerja bagi mengisi jurang berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, ini masa sesuai untuk memberi kebenaran kepada pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) termasuk pemegang kad UNCHR yang sah, diambil bekerja.

Malaysia kini menghadapi isu kekurangan pekerja kronik yang memerlukan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja iaitu 627,000 dalam industri pembuatan , perladangan (120,000) dan 550,000 dalam pembinaan.

Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan sedia membantu pelarian Myanmar khususnya etnik Rohingya mengikuti latihan kemahiran ke arah memastikan warga negara berkenaan berkemahiran dalam bidang tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 2:57 PM