Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Serdang: Pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia disifatkan kena pada masanya terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Dengan harga RM3.50 untuk pelbagai pilihan menu makanan sejak 8 Julai lalu, ia melegakan banyak pihak termasuk pentadbir universiti yang berusaha menyediakan persekitaran terbaik buat siswa.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, dengan adanya bantuan itu, pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan.

Katanya, menu berkenaan boleh dinikmati di semua kafetaria di kampus itu dan pihaknya berterima kasih kepada pengusaha kerana memberikan kerjasama yang baik.

"Mungkin bagi sesetengah pelajar, bantuan ini tidak seberapa, tetapi kita perlu bersyukur, inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi ini memang tepat pada masanya.

"Kami aktifkan Upsi Kasih Prihatin untuk bantu siswa yang datang daripada keluarga susah.

"Malah ada pensyarah dan kakitangan yang mengambil pelajar sebagai anak angkat, bagi duit belanja dan membantu membiayai pengajian mereka.

"Dengan adanya menu ini pula, saya kira ia melengkapkan bantuan untuk memastikan pelajar fokus sepenuhnya pada pelajaran. Yang lain, kerajaan dan pihak yang prihatin sudah uruskan," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Nuruliman Ibrahim berkata, pengenalan inisiatif Menu Keluarga Malaysia itu adalah usaha terbaharu untuk membantu mahasiswa.

Katanya, pihaknya mengadakan perbincangan bersama pengusaha kafetaria pada 6 Julai lalu untuk mencari kaedah terbaik menyediakan menu untuk pelajar.

"Selepas diumum Menteri KPT Datuk Seri Noraini Ahmad, kita terus berbincang dengan peniaga.

"Dengan harga RM3.50, ia dapat membantu mahasiswa terutama golongan B40 untuk mendapatkan makanan dengan harga murah," katanya.

Beliau berkata, UPM mempunyai 24,000 mahasiswa dan 60 peratus daripadanya adalah B40.

"Untuk pelajar, kita ada empat inisiatif bagi membantu menangani kos sara hidup yang meningkat," katanya.

"Ia termasuk Bantuan Tabung UPM Prihatin, Tabung Amanah Zakat UPM, Menu Kasih Pelajar Keluarga Malaysia dan sebarang masalah boleh hubungi nombor hotline BHEP 24 jam," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Mudah Sains Akuakultur, Norhariz Reseli 25, menunjukkan paparan hidangan Menu Keluarga Malaysia pada aplikasi instagram Majlis Perwakilan Pelajar UPM ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelajar Ijazah Sarjana Mudah Sains Akuakultur, Norhariz Reseli 25, menunjukkan paparan hidangan Menu Keluarga Malaysia pada aplikasi instagram Majlis Perwakilan Pelajar UPM ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD

Anggap sedekah kepada pelajar

Kuala Lumpur: "Jika nak dikira untung, memang sangat rendah, tetapi saya anggap ia sebagai sedekah buat mahasiswa yang mengalami kesempitan wang asalkan mereka tidak berlapar," kata peniaga Mahfuza Mohd Sulaiman.

Dia yang berniaga di kafe Kolej Kediaman ke-12 Universiti Malaya berkata, harga bahan mentah yang naik mendadak sudah pasti menekan peniaga namun harga jualan makanan yang dijual di institusi pengajian tinggi tidak sepatutnya membebankan mahasiswa.

Katanya, setiap hari RM3,000 akan dihabiskannya untuk modal membeli bahan mentah di pasar namun jika makanan yang siap dimasak dijual pada harga pasaran, sudah pasti ia membebankan mahasiswa.

"Sebagai peniaga, memang kami terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah tetapi tidak sampai hati untuk jual makanan pada harga pasaran seperti di luar kerana sangat faham dengan kesempitan kewangan dialami mahasiswa.

"Walaupun untung tidak banyak namun Alhamdulillah, masih boleh cover duit gaji dan bahan mentah. Selebihnya saya anggap ia sedekah buat mereka yang kesempitan," katanya.

Menurutnya, dia menjual menu asas seperti nasi dan ayam pada harga RM5 dengan tambahan RM1 jika sayur dipilih mahasiswa.

Katanya, mahasiswa juga tidak dikenakan caj tambahan jika mengambil nasi dalam kuantiti berlebihan.

"Realiti harga bahan mentah sekarang memang sukar dijangka kerana harga boleh naik mendadak pada bila-bila masa.

"Untuk kami menaikkan harga seperti di pasaran adalah mustahil kerana mengenangkan keadaan mahasiswa yang terpaksa berlapar dan pada masa sama perlu belajar," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Linguistik Bahasa Inggeris, Mohamad Fikri Mohamad Fairus 21, menunjukkan menu makanan yang berharga RM3.50 ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Linguistik Bahasa Inggeris, Mohamad Fikri Mohamad Fairus 21, menunjukkan menu makanan yang berharga RM3.50 ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD

Prihatin, cakna kebajikan mahasiswa

Kuala Lumpur: Usaha untuk mengawal harga makanan daripada membebankan mahasiswa mendapat reaksi positif universiti awam dan swasta.

Universiti Malaya antara yang membuat penetapan harga antara RM3.50 hingga RM5 untuk satu menu makanan bermula semalam.

Menerusi memo yang dikeluarkan universiti berkenaan, set ekonomi seperti nasi putih, telur dadar, sayur bersama sup kosong atau sambal dijual pada harga RM3.50 manakala nasi putih, ayam atau ikan, sayur serta sup dan sambal dijual pada harga RM5.

"Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan mahasiswa bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup sepanjang pengajian di universiti.

"BHEP dengan kerjasama pengusaha kafeteria kolej kediaman mengambil inisiatif memperkenalkan menu ekonomi di kafeteria kolej kediaman," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Universiti Teknologi Mara (UiTM) memaklumkan universiti berkenaan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk baucer makanan bernilai RM120 sebulan kepada mahasiswa dari keluarga B40.

Menurutnya, wang berkenaan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pelajar bagi membeli makanan atau keperluan pengajian.

Katanya, lebih 50,000 mahasiswa UiTM seluruh negara menerima manfaat daripada baucer berkenaan yang secara tidak langsung membantu mengurangkan beban kewangan.

"Mahasiswa boleh memohon baucar menerusi kolej kediaman masing-masing dan kelulusan akan diberikan selepas beberapa kriteria diperhalusi.

"UiTM juga cakna dengan isu harga makanan dan memastikan harga yang ditetapkan tidak membebankan mereka," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Komunikasi Stratergik dan Media, Management and Science University (MSU) berkata, Jabatan Pembangunan Keusahawanan dan Perniagaan sentiasa memantau harga makanan di universiti itu.

Katanya, mahasiswa juga boleh berhubung terus dengan Bahagian Pembangunan Kerjaya dan Pelajar untuk menyalurkan maklumat mengenai kenaikan harga makanan dan barangan di universiti itu.

Pelajar membeli makanan yang dijual di kafe kolej kediaman ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelajar membeli makanan yang dijual di kafe kolej kediaman ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD

Syukur PM umum menu makanan berkualiti RM3.50

Kuala Lumpur: Terima kasih Perdana Menteri (PM).

Itu reaksi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengenai pengumuman pengenalan menu makanan berkualiti pada harga siling bernilai RM3.50 untuk satu hidangan menerusi Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia.

Naib Presidennya CT Faizah Abdul Rahman berkata, pihaknya juga menghargai usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memutuskan untuk memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha makanan dalam kampus di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara sebagai satu langkah untuk menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

Katanya, langkah yang diambil kerajaan ini amat penting dalam memastikan kawalan harga dapat dilakukan dan pelajar tidak terbeban dengan kenaikan harga barang yang berlaku sejak kebelakangan ini.

"Kami juga berharap agar inisiatif yang diperkenalkan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dalam mengharungi cabaran kenaikan kos sara hidup yang berlaku pada masa kini.

"Majlis Perwakilan Pelajar akan sentiasa memantau pelaksanaan inisiatif ini bagi memastikan ia sampai kepada setiap penuntut IPT di negara ini.

"Kepemimpinan pelajar turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan yang sentiasa mendengar dan cakna dengan suara dan hasrat pelajar serta sentiasa membabitkan pelajar dalam pembuatan keputusan demi kebaikan pelajar IPT di negara ini," katanya.

Justeru, katanya, mahasiswa diseru agar terus memberikan sokongan penuh kepada pengusaha dengan membeli makanan dan minuman di kafeteria di IPT masing-masing yang menawarkan harga berpatutan dan dapat membantu mereka mengharungi cabaran kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Sebahagian pelajar menikmati makan tengah hari di kafe kolej kediaman ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sebahagian pelajar menikmati makan tengah hari di kafe kolej kediaman ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD

Harap inisiatif ini bukan bermusim

Kuala Lumpur: Inisiatif Universiti Malaya (UM) menurunkan harga makanan antara RM3.50 hingga RM5 begitu dinantikan khususnya mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Mahasiswa Sarjana Muda Perniagaan dan Ekonomi UM, Sofea Nabihah Mohd Yusof Chan, 22, berkata, inisiatif itu diharap bukan bermusim sebaliknya akan diteruskan untuk tempoh jangka panjang.

"Sebagai mahasiswa ada kalanya kami perlu buat kerja sambilan demi mencari wang tambahan untuk kelangsungan hidup di kampus.

"Mahasiswa memang terkesan sebelum ini kerana terpaksa menjamah nasi bersama kuah sahaja selepas harga makanan melambung sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Penuntut Sarjana Muda Falsafah dan Pemikiran Islam UM, Deemar Hasmarzuky, 23, berkata, harga makanan yang melambung sebelum ini adakala memaksanya mengikat perut.

"Harga makanan sebelum ini boleh mencecah RM7 untuk nasi bersama ayam dan sayur malah lebih tinggi untuk lauk ikan serta daging.

"Kami tidak mampu jika harga sebegini berterusan kerana bergantung sepenuhnya kepada bantuan pinjaman sepanjang pengajian," katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Akuakultur Universiti Putra Malaysia (UPM) Norhariz Reseli, 25, berkata, Menu Keluarga Malaysia yang disediakan memang membantu terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, kebiasaannya dia dan rakan membelanjakan hampir RM10 untuk menu makan tengah hari berserta air.

"Dengan adanya menu murah ini, kami boleh makan dua kali dan tidak perlu bimbang untuk membeli makanan lagi.

"Bagi saya, dengan pilihan beberapa menu yang ada, ia adalah inisiatif yang baik dan dapat membantu ramai mahasiswa untuk menikmati juadah," katanya.

Seorang lagi penuntut, Nurul Safina Abdul Salam, 22, berkata, pilihan menu berkenaan dikongsikan pentadbiran universiti dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Facebook sejak beberapa hari lalu untuk memudahkan mereka membeli makanan.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Mikrobiologi UPM itu berkata, pilihan menu berkenaan kena dengan harganya dan tidak dapat diperoleh jika makan di luar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 8:01 AM
Pelajar membeli makanan yang dijual di kafe kolej kediaman ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelajar membeli makanan yang dijual di kafe kolej kediaman ketika tinjauan Menu Keluarga Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang. FOTO AIZUDDIN SAAD