Mahaizura Abd Malik


Serdang: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memasang sistem solar berkapasiti 16.18 megawatt di 16 tapak di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha menjimatkan kos penggunaan elektrik dan memelihara kelestarian alam.

Projek pemasangan sistem solar terbesar seumpamanya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu dijayakan anak syarikat TNB, GSPARX Sdn Bhd menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dengan UPM.

Kerja pemasangan panel solar itu dilaksanakan di pelbagai bangunan UPM termasuk masjid, bumbung parkir bangunan fakulti dan pentadbiran serta projek solar terapung, Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Skala Besar Pertama yang dijangka siap menjelang Julai depan.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, menerusi jalinan kerjasama strategik itu, UPM akan menerima penjimatan bil elektrik RM114 juta dalam tempoh 25 tahun.

"Ini semua dicapai tanpa sebarang kos dari UPM menerusi RM45 juta nilai pelaburan daripada TNB.

"Malah sepanjang tempoh kontrak 20 tahun, segala aspek penyelenggaraan dan pemantauan ditanggung sepenuhnya oleh GSPARX.

"Dari aspek alam sekitar pula, pemasangan panel solar ini mampu mengurangkan kadar tahunan 14,655 tan metrik karbon dioksida yang bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau daripada 242,320 batang pokok dalam tempoh 10 tahun atau mengelakkan pembebasan karbon dari 3,187 kenderaan dalam setahun," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian SARE antara TNB, GSPARX Sdn Bhd dan UPM di Fakulti Kejuruteraan UPM, di sini, hari ini.

DATUK Seri Abdul Razak Jaafar bercakap ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Supply Agreement with Renewable Energy (SARE) di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang. FOTO Aziah Azmee
DATUK Seri Abdul Razak Jaafar bercakap ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Supply Agreement with Renewable Energy (SARE) di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang. FOTO Aziah Azmee

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan mewakili GSPARX Sdn Bhd dan Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Sementara itu, Dr Mohd Roslan berkata, menerusi projek berkenaan, UPM akan menikmati penjimatan tenaga serta jalinan kerjasama penyelidikan dan jaringan industri bersama TNB terutama bagi pembangunan modal insan dan pelaksanaan projek sistem Aquavoltaics di Fakulti Kejuruteraan.

"Untuk makluman, bil elektrik UPM mencecah RM40 juta setiap tahun membabitkan kampus Serdang dan Hospital Pengajar.

"Ini satu jumlah besar yang perlu diperuntukkan setiap tahun daripada jumlah perbelanjaan mengurus universiti.

"Mengambil kira situasi semasa yang semakin mencabar dengan pengurangan geran kerajaan bagi mengimbangi keperluan lain seperti emolumen, pengajaran, penyelidikan dan lain-lain perbelanjaan, universiti perlu mempergiatkan aktiviti penjanaan pendapatan di samping melaksanakan inisiatif penjimatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:24 PM