Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Peniaga makanan di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem kupon di samping pemberian subsidi bagi membolehkan mereka menawarkan menu makanan terbaik misalnya mengandungi ayam atau daging pada harga siling RM3.50.

Seorang pengusaha, Abdul Hamid Ibrahim, 58, berkata dia sendiri ada menyediakan menu nasi bujang yang terdiri daripada nasi putih, telur dadar, sup kosong, timun dan sambal belacan yang dijual pada harga RM2.50 sejak 12 tahun lalu.

"Saiz hidangan dan harganya tidak pernah berubah. Cuma saya fikir pada harga RM3.50 hidangan yang kami boleh sediakan terhad kepada nasi goreng bersama telur mata sahaja buat masa ini.

"Tetapi kalau ada subsidi saya berpendapat kami boleh tawarkan hidangan yang lebih pelbagai contohnya ada ayam atau daging supaya penuntut tidak jemu jika makan menu yang lebih kurang sama sahaja," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Nooradeela Kamal Suradee, 34, berkata dia menyediakan lebih 40 juadah dan berpendapat menu RM3.50 bukanlah sesuatu yang mustahil dan boleh diolah mengikut kreativiti peniaga.

"Pada harga itu pelanggan boleh dapat nasi putih, sayur, telur ditambah dengan pilihan kentang sambal atau terung masak sambal dan kami juga tidak mengenakan caj tambahan untuk pembungkusan.

"Kami juga ada jual nasi ayam berharga RM5 kalau penuntut tidak cukup duit biasanya kami halalkan sahaja. Seekor ayam kami potong 10 jadi saiz ayam kami agak besar dan menu kami ada mahal serta murah untuk meraikan semua peringkat pelanggan," katanya yang mewarisi perniagaan itu daripada arwah ibunya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Prof Dr Azlinda Azman, berkata pihaknya sentiasa memantau harga makanan yang dijual di kafeteria dalam kampus selain mendapatkan maklum balas penuntut berhubung perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 2:26 PM
PELAJAR membeli makanan ketika tinjauan di kampus Universiti Sains Malaysia (USM). FOTO Mikail Ong
PELAJAR membeli makanan ketika tinjauan di kampus Universiti Sains Malaysia (USM). FOTO Mikail Ong