MENU Rahmah yang ditawarkan di Pasar Raya Besar Mydin Tunjong di Kota Bharu. FOTO Bernama
MENU Rahmah yang ditawarkan di Pasar Raya Besar Mydin Tunjong di Kota Bharu. FOTO Bernama
Nuratikah Athilya Hassan


Kuala Lumpur: Rata-rata mahasiswa dan pengusaha kafeteria bersetuju dengan cadangan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai pelaksanaan Menu Rahmah di setiap institusi pengajian tinggi (IPT).

Hasil tinjauan di Putra Food Court (PFC), Universiti Putra Malaysia, mendapati ramai yang menyokong cadangan berkenaan dan perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

Pelajar Tahun Akhir Jurusan Perakaunan, Nurul Hanisah Abu Muhsen, 22, berkata, inisiatif ini mampu meringankan beban mahasiswa kerana ada yang terpaksa mengikat perut berikutan masalah kewangan.

"Jadi cadangan ini memang wajar dilaksanakan dalam kadar segera supaya dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian mahasiswa," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ketua Penerangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Asfa Irfan Mohamed Razi berkata, inisiatif ini patut dipuji dan wajar untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Program ini perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membantu mahasiswa daripada mencatu wang poket sepanjang tempoh pengajian," katanya.

Dalam pada itu, Pengusaha Kiosk PFC, Mohd Ridhwan Yunus, 48, berpendapat menu yang disediakan dalam program Menu Rahmah perlu dipelbagaikan.

"Sebelum ini, Menu keluarga Malaysia cuma ada dua hingga tiga pilihan sahaja di setiap kiosk. Jadi, saya cadangkan untuk program kali ini ada lima hingga enam pilihan menu di setiap kiosk.

"Harga akan ditetapkan mengikut cadangan asal program iaitu RM5 atau lebih murah tetapi ia bergantung kepada kos bahan mentah juga," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 akan diperluaskan ke IPT dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled dilaporkan berkata, ia akan dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 2:07 PM