Mahaizura Abd Malik

Serdang: Universiti Putra Malaysia (UPM) sedia menawarkan kepakaran dalam projek penyelidikan makanan alternatif untuk ayam menggunakan larva serangga, 'black soldier fly' (BSF).

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) UPM, Prof Datuk Dr Zulkifli Idrus berkata, BSF boleh digunakan untuk menggantikan kacang soya sebagai sumber protein dalam dedak ayam.

Ia sekali gus menawarkan penyelesaian isu kenaikan harga ayam di Malaysia untuk jangka masa panjang.

"Untuk jangka masa panjang, kita boleh pertimbangkan menggunakan serangga kerana ia memang makanan semulajadi ayam. Paling sesuai, satu daripadanya ialah BSF kerana larvanya boleh digunakan untuk sumber protein kepada ayam.

"Kalau kita hendak ternak serangga ini amat mudah kerana makanannya cuma sisa buangan dapur dan industri sawit malah tidak memerlukan tanah yang banyak seperti menanam soya selain iklim tropika kita sesuai bagi membiakkannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung langkah penyelesaian isu kenaikan harga ayam di Bangunan Canselori Putra di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, kelebihan serangga itu bukan hanya membantu mengurangkan kebergantungan bahan import soya, malah ia dapat menyelesaikan pengurusan sisa di Malaysia.

"Cuma industri ternakan serangga ini di Malaysia masih di peringkat baru dan hanya dua syarikat mengusahakan pembiakan ini iaitu di Johor dan Selangor yang mengeksportnya ke Eropah.

"Jadi, ia tidak cukup untuk menampung keperluan ayam di Malaysia. Namun, kita boleh pertimbangkan ini secara serius

kerana kita mempunyai kemampuan termasuk iklim tropika kita sesuai dan ada kepakaran yang boleh menyumbang kepada industri," katanya.

Mohd Fared Mohd Khalid. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohd Fared Mohd Khalid. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Menurut Zulkifli, beberapa pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) juga berminat dengan pembiakan serangga ini dan kerana itu, ia perlu dimulakan sekarang.

"Namun, sudah pasti kita perlukan dana mencukupi untuk menjalankan beberapa penyelidikan lanjut bagi menentukan kesesuaian, banyak mana kita perlukan sebagai makanan ayam dan sebagainya," katanya.

Selain itu, kata Zulkifli, Malaysia juga boleh menggunakan hampas isirung kelapa sawit (PKC) yang diproses sebagai makanan ayam untuk menggantikan karbohidrat dalam kacang soya dan jagung.

"Malaysia adalah pengeluar utama PKC dengan menghasilkan 2.5 juta metrik tan setahun, ia cukup untuk keperluan ayam di negara ini.

"Namun, cabarannya ialah, kita mengeksport 94 peratus PKC ke negara Kesatuan Eropah (EU).

"Jadi, kita berpandangan, perlu ada satu polisi import yang baharu iaitu dengan mengutamakan permintaan tempatan terlebih dahulu," katanya.

Menurut Zulkifli, UPM juga sudah memperoleh geran di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjalankan beberapa eksperimen bagi mengurangkan kandungan serat dalam PKC supaya sesuai untuk dijadikan makanan ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 12:54 PM