KANAK-KANAK Palestin berdepan masa depan kelam. FOTO AFP
KANAK-KANAK Palestin berdepan masa depan kelam. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Empat daripada lima kanak-kanak di Semenanjung Gaza mengalami kemurungan, kesedihan dan ketakutan yang disebabkan 15 tahun sekatan Israel di wilayah itu, demikian laporan yang diterbitkan oleh pertubuhan kebajikan, Save the Children.

Portal AlJazeera melaporkan, laporan itu bertajuk Trapped menemu bual 488 kanak-kanak dan 168 ibu bapa dan penjaga di Semenanjung Gaza susulan penyelidikan sama yang dijalankan oleh organisasi itu pada 2018.

Sekatan ke atas Semenanjung Gaza bermula pada Jun 2007 menjejaskan ekonomi wilayah itu dengan teruk dan mengehadkan perjalanan.

Menurut laporan itu, ia menjejaskan terutamanya kanak-kanak yang membentuk 47 peratus daripada dua juta penduduk Gaza.

Kira-kira 800,000 kanak-kanak Gaza tidak pernah mengenali kehidupan tanpa sekatan dan terpaksa menghadapi apa yang disebut laporan sebagai enam situasi yang mengancam nyawa.

Penyelidikan terbaharu Save the Children itu menunjukkan, kesejahteraan mental kanak-kanak, belia dan penjaga merosot secara mendadak, sejak laporan pihaknya, empat tahun lalu, dengan bilangan kanak-kanak yang melaporkan tekanan emosi meningkat daripada 55 kepada 80 peratus.

Laporan itu menunjukkan terdapat peningkatan ketara dalam jumlah kanak-kanak yang dilaporkan berasa takut (84 peratus berbanding 50 peratus pada 2018), gementar (80 peratus berbanding 55 peratus), kesedihan atau kemurungan (77 peratus berbanding 62 peratus) dan kesedihan (78 peratus berbanding dengan 55 peratus).

Save the Children juga melaporkan, lebih separuh kanak-kanak Gaza memikirkan mengenai bunuh diri dan tiga daripada lima mencederakan diri sendiri.

Faktor penyumbang kepada krisis kesihatan mental yang dialami oleh kanak-kanak dan golongan muda di Gaza didapati kerana kekurangan akses kepada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan sekatan yang berterusan.

Rejim Israel mengenakan sekatan darat, udara dan laut terhadap Semenanjung Gaza sejak pejuang Hamas mengambil alih pentadbiran wilayah itu pada Jun 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:05 AM