NELYDIA sudah berada di tahap tersendiri.
NELYDIA sudah berada di tahap tersendiri.
Norhayati Nordin


MULA menjejak kaki dalam kerjaya seni pada usia 15 tahun, hari ini nama Nelydia Senrose, 28, sudah berada di tahap tersendiri.

Malah, dari segi populariti ternyata keluarga Senrose cukup menjadi perhatian ramai.

Namun, antara Nelydia dan adik-beradiknya yang lain iaitu Uqasha dan Raysha Rizrose, kisah pelakon drama Setia Hujung Nyawa ini boleh dikata tidak terlalu kerap dipaparkan media walaupun dia aktif di pentas lakonan.

Bukan sombong atau cuba menjauh diri, Nelydia cuma sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan.

Ketika bersua dengannya di sidang media virtual drama Khilaf Asmara baru-baru ini, dia masih sedia menjawab pelbagai soalan, termasuk dakwaan kini hamil.

Nelydia berkata, pembabitannya dalam drama penuh konflik berkaitan keluarga dan perebutan harta itu cukup istimewa kerana dapat berganding semula dengan pelakon popular, Fasha Sandha.

"Kembali bekerja semula dengan Kak Fasha dalam satu drama, ia rezeki saya dapat berlakon lagi dengannya. Walaupun dah lama saya berlakon, ilmu harus ditimba setiap masa. Apatah lagi dengan orang berkaliber seperti Kak Fasha.

KURANG tampil dalam media  kerana terlalu sibuk dengan pelbagai urusan.
KURANG tampil dalam media kerana terlalu sibuk dengan pelbagai urusan.

"Kira-kira 12 tahun lalu, saya pernah bekerja dengannya (Fasha) dalam drama Spa Qistina untuk TV3 pada 2009. Ketika itu, saya baharu dalam kerjaya lakonan dan aura Kak Fasha cukup dikagumi," katanya.

Berbicara gandingan mereka dalam Khilaf Asmara yang tamat tayangannya di TV3 baru-baru ini, Nelydia yang melakonkan watak Irma Sufia berkata, dia tidak akan melupakan pelbagai bantuan Fasha kepadanya. Katanya, ibu tiga cahaya mata itu sentiasa sedia membantu rakan pelakon lain.

"Saya masih ingat, bukan mudah pada mulanya mendalami watak Irma Sufia itu yang menuntut permainan emosi berat kerana suami yang curang. Tapi, Kak Fasha berusaha bantu saya dengan menghubungi ahli keluarga terdekatnya yang pernah berhadapan situasi itu.

"Dengan perkongsian cerita individu itu, saya jadi semakin faham apa perasaan sebenar yang patut dirasakan. Saya amat berterima kasih kepada Kak Fasha yang baik hati membantu. Sikapnya tidak pernah berubah sejak dari dulu," katanya.

Menurut Nelydia, dia sedar kenapa Fasha boleh meneruskan 'survival' seni hingga masa kini kerana sikap dan komitmen pada kerja.

Katanya, disiplin diri Fasha sangat tinggi dan tidak ramai yang boleh jadi sepertinya. Walaupun sudah berkahwin dan ada keluarga sendiri, Fasha masih laris dalam bidang lakonan.

NELYDIA kagumi sikap dan komitmen Fasha bekerja.
NELYDIA kagumi sikap dan komitmen Fasha bekerja.

Mengulas juga dirinya yang sering mendapat peluang melakonkan watak baik dan bermain air mata, Nelydia berkata, dia ada berhasrat nak memainkan peranan antagonis, namun peluang rezeki masih belum ada.

"Asyik berlakon watak air mata dan wanita teraniaya, saya sebenarnya teringin juga nak jadi jahat. Tapi, mungkin raut wajah saya kurang sesuai, maka hasrat ini belum tertunai. Bagaimanapun, kita tak tahu rezeki akan datang macam mana?.

"Cuma, kalaulah ada peluang pasti saya terima jika sesuai dengan jalan ceritanya. Namun, buat masa ini saya akur dan tetap bersyukur dengan watak-watak diterima. Saya tetap berusaha memberi yang terbaik," katanya.

Nelydia yang kini tampil manis bertudung cukup menjadi perhatian ramai peminat, namun dia kurang selesa membicarakannya kerana masih lagi 'budak' yang baru belajar.

"Saya mohon doakan yang baik-baik agar terus istiqamah. Saya masih belajar lagi dalam hal ini (bertudung) dan semoga semuanya berjalan lancar. Apapun, terima kasih kerana terus menyokong saya dan karier lakonan ini.

"Selagi diterima dan mendapat tawaran sesuai, saya akan terus berlakon. Apatah lagi, saya tidak pernah meletak sebarang had dan sentiasa terbuka untuk cuba sesuatu yang baharu," katanya.

Terdahulu, Nelydia bersama suami, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid berangkat mengerjakan umrah pada Disember, tahun lalu. Namun, difahamkan dia mula tampil bertudung selepas pulang dari umrah.

NELYDIA mula berlakon ketika berusia 15 tahun.
NELYDIA mula berlakon ketika berusia 15 tahun.

Mengenai cahaya mata pula, Nelydia berkata sebagai wanita berkahwin pastinya dia juga inginkan zuriat. Namun, katanya belum rezeki dan untuk itu dia hanya mampu terus berdoa kepada Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 6:20 AM