DAIYAN Trisha tak sabar beraya, berkumpul selepas dua tahun tidak raikan Aidilfitri.
DAIYAN Trisha tak sabar beraya, berkumpul selepas dua tahun tidak raikan Aidilfitri.
Syafil Syazwan Jefri


PENGALAMAN menunaikan umrah tentunya menjadi pengalaman paling bermakna dan dinanti-nantikan setiap Muslim.

Bagi penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha, peluang menunaikan umrah bersama keluarga baru-baru ini menjadi detik paling bermakna buat dirinya.

Berkesempatan bertemu dan menemubual gadis berusia 23 tahun ini, dia berkongsi dan berbicara mengenai pengalaman manisnya ketika berada di Tanah Suci Makkah.

"Ini adalah kali pertama saya menunaikan umrah bersama keluarga. Alhamdulillah, selama 10 hari di sana, semuanya berjalan lancar.

"Di sana, ada dua detik yang saya rasakan sangat menyentuh hati saya. Pertama ketika berada di hadapan Kaabah dan kedua adalah ketika masuk ke Raudah.

"Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, namun ada rasa bahagia dan gembira dalam hati saya. Tak pernah saya rasakan perasaan sebegitu," katanya.

Menurutnya, antara ilmu yang diperoleh sepanjang proses menunaikan umrah adalah untuk menjadi seorang yang penyabar.

"Di sana, kena banyak bersabar sebab akan ada ujian-ujian. Antaranya, tempoh berpuasa di sana lebih panjang berbanding di sini.

"Cuaca juga panas tapi yang seronoknya, tak berpeluh. Namun, kita kena sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apa yang kita nak, Insya-Allah, Dia akan bagi.

"Selain itu, sepanjang di sana juga, kita secara semula jadi akan menjadi versi terbaik diri kita. Mungkin sebab itulah ia digelar sebagai Tanah Suci. Di sana, timbul rasa rajin untuk beribadah dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, walaupun hanya 10 hari, itu sudah cukup untuk menimbulkan rasa rindu untuk kembali lagi ke sana.

"Untuk umrah kali ini pun, saya tak rancang pun sebenarnya. Tiba-tiba saja, sekitar Februari lalu, saya rasa macam nak pergi ke sana. Tapi, pada ketika itu, sempadan negara belum dibuka untuk umrah.

"Kalau ada peluang lagi, memang saya nak sangat kembali ke sana. Kalau boleh, setiap tahun pun saya nak pergi," katanya.

Berkongsi mengenai Aidilfitri, Daiyan tidak sabar menantikan detik untuk berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara selepas dua tahun tidak meraikan Aidilfitri seperti kebiasaan.

"Kalau mengenai persiapan, tak banyak yang dibuat. Baju raya pula memang saya ada dapat tajaan memandangkan ada kerjasama dengan satu jenama pereka.

"Detik paling dinantikan adalah untuk berkumpul bersama sanak saudara yang sudah lama tak berjumpa. Insya-Allah, selepas dua tahun kami akan berkumpul dan eratkan silaturahim sebab keluarga kami memang sangat 'family oriented' terutamanya di sebelah ibu saya di Pahang.

"Bezanya bila dah dewasa, tentunya kemeriahannya tak sama seperti ketika zaman kanak-kanak di mana banyak aktiviti seperti bermain mercun dan sebagainya," katanya.

Berkongsi mengenai juadah Aidilfitri, Daiyan adalah peminat setia nasi dagang.

"Kalau di sebelah Kuantan, menu wajib adalah nasi dagang masakan nenek saya. Dia memang hebat dalam memasak menu itu. Kalau saya pula, selalunya tolong-tolong saja antaranya memasak mi kari," katanya.

Selain itu, Daiyan juga bakal muncul muncul dalam program terbaharu berjudul Star Vs Food yang akan ditayangkan tidak lama lagi di samping filem Rompak yang juga akan ditayangkan menjelang Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:00 AM