ANTARA kenangan menarik Khadijah di sana.
ANTARA kenangan menarik Khadijah di sana.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kenangan semasa di Makkah menunaikan umrah tentunya menjadi pengalaman paling bermakna dan dinanti-nantikan setiap umat Islam.

Penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim yang baru selesai menunaikan umrah menganggap pengalaman keduanya ini sesuatu yang sangat indah.

"Ini kali kedua saya menunaikan umrah. Dulu pergi bersama keluarga. Kali ini bersendirian mengikut agensi. Alhamdulillah, selama 10 hari di sana semuanya berjalan lancar.

"Mengunjungi Baitullah selepas Covid-19 mencabar dan perlu menjaga kesihatan dengan rapi untuk beribadah di sana. Saya selalu beringat berkenaan perkara ini.

"Namun, saya bersyukur kerana rombongan kami diberikan layanan sempurna oleh agensi," katanya yang berangkat ke sana pada 9 September dan pulang ke Malaysia pada 19 September lalu.

Semasa di sana, Khadijah serta jemaah lain ditempatkan di R' Suites Makkah milik Datuk Radzi Mansor yang juga pemilik A&M Berkat Travel & Tours Sdn Bhd.

"Alang-alang di situ, saya menyediakan makanan dan menjamu 30 jemaah yang turut bersama rombongan ini serta turut menjamu penduduk tempatan di Makkah.

"Antara menu makanan yang disediakan ialah nasi lemak, sambal tumis udang petai, udang lemak cili padi, asam pedas, nasi goreng kampung, nasi corn beef dan cekodok ikan bilis.

"Syukur sangat semua jemaah gembira dapat merasa air tangan saya. Sekurang-kurangnya saya dapat beri keseronokan kepada mereka rasa gembira kami seperti satu keluarga," katanya.

Khadijah berkata, antara detik pengalaman yang kekal terpalit di ingatannya ialah mendaki Gua Hira' bersama jemaah sampai ke puncak.

"Saya selalu berdoa agar Allah permudahkan perjalanan kami. Kali ini banyak perancangan diatur ke sana sini.

"Pendakian ke Gua Hira' mengambil masa dua jam lebih. Kalau orang boleh buat, saya pun boleh buat.

"Sejak di bawah, saya berniat dalam hati yang saya nak ke Gua Hira'. Alhamdulillah saya naik dan turun dengan selamat," katanya.

Lain-lain pengalaman manis tentunya ialah ketika berada di hadapan Kaabah dan ketika masuk ke Raudah.

"Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, namun ada rasa bahagia dan gembira dalam hati saya. Semoga saya dapat menjejakkan kaki lagi ke sini pada masa lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:01 AM