ERRA terkenang saat mengerjakan ibadah haji seorang diri pada 2019.
ERRA terkenang saat mengerjakan ibadah haji seorang diri pada 2019.
Sudirman Mohd Tahir


Panggilan haji, telah tiba lagi,

Menunaikan ibadah,

Panggilan Baitullah,

Tanah Suci Makkah,

Ya Makkatul Mukarramah.

ITU bait lirik lagu Panggilan Haji yang pastinya menggamit memori bagi semua yang pernah mengerjakan rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji.

Tidak ketinggalan pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira apabila dapat menunaikan ibadah haji pada 2019 iaitu ketika usia mencecah 45 tahun.

Menurut Erra, 47, atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, dipilih menjadi tetamu Allah bagi menunaikan haji adalah pengalaman terindah dalam hidupnya, apatah lagi selepas hampir 10 tahun dia tidak menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

"Pengalaman haji sangat terindah dalam hidup. Ia hadir selepas hampir 10 tahun tak jejak kaki ke Tanah Suci Makkah. Memang rindu sangat. Impian nak pergi tercapai. Dulu masa buat umrah pernah pasang hajat, nak kembali untuk buat haji pula. Tapi tak kesampaian.

"Merayu pada Allah dalam doa nak buat umrah pun tidak kesampaian. Mungkin niat dah nak ke haji. Jadi, Allah panggil menunaikan haji ketika usia genap 45 tahun. Ketika itu pula syarat boleh pergi sendiri tanpa mahram. Saya pergi berbekalkan kekuatan dan semangat untuk bertawakal pada Allah.

"Alhamdulillah pergi dengan kenangan yang cukup indah. Rasa gementar juga sebab tak pernah ke sana seorang diri. Tapi, Allah bagi kekuatan dan permudahkan segala urusan ibadah di sana," katanya.

Biarpun selepas selepas dua tahun berlalu, Erra mengakui setiap masa, detik dan waktu di sana masih segar dalam ingatan apatah lagi, ketika berada di Arafah.

"Sebelum persiap diri nak mengerjakan haji, kita dengar pelbagai cerita orang terutama situasi di Arafah, Mina, melontar, kesesakan orang dan sebagainya. Dengar cerita sebegitu tertanya-tanya, bolehkah nak lalui semua itu. Tapi ketika saya di sana, sangat alhamdulillah. Ada juga cabaran, tapi dipermudahkan segalanya.

"Apa yang dirindukan adalah suasana saat berdoa di Arafah. Di situ saat yang paling ditunggu-tunggu untuk diangkat doa. Walaupun kita fikir banyak masa di situ untuk berdoa, tapi sebenarnya sekejap saja berlalu. Bukan berdoa untuk diri sendiri, tapi berdoa juga untuk doa-doa yang dikirimkan oleh saudara mara.

"Ketika di Arafah juga berlaku hujan dengan ribut pasir. Walaupun nampak macam ada cabaran, tapi dipemudahkan. Selepas semua itu, ia menjadi setenang-tenang suasana. Itu yang saya rindui. Di sana saya jumpa ramai kenalan dalam kalangan kakak-kakak, adik-adik, makcik makcik dan saya berjiran dengan jemaah lain. Malah, ada sampai sekarang masih berhubung. Seronok sangat di sana," katanya.

Dalam pada berkongsi dan mengimbau kembali pengalaman ketika menunaikan haji, sambutan Aidiladha juga mengingatkan kita pada pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Bagi Erra, erti pengorbanan itu adalah ketika seseorang melakukan sesuatu yang bukan kerelaan diri, tapi ia demi kebahagiaan orang lain.

"Apabila tiba sambutan Hari Raya Aidiladha, ia sangat dekat dengan korban. Erti pengorbanan ini pun kalau dihayati kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, bagaimana pengorbanan seorang bapa semata-mata memenuhi perintah Allah.

ERRA memasang impian untuk tampil dengan album baharu sebagai hadiah buat peminat.
ERRA memasang impian untuk tampil dengan album baharu sebagai hadiah buat peminat.

"Bagi saya, pengorbanan juga adalah membuat sesuatu di luar kesukaan, kerelaan dan kehendak kita tapi kena buat. Dalam hidup kita ini, akan sentiasa berkorban. Sebab ada banyak benda. Kerana setiap apa dilakukan tidak semua yang kita nak. Kadang-kala, kita buat kerana disuruh. Kadang itu, kita banyak berkorban pula. Pengorbanan ini sangat dekat dengan kita. Bukan ketika Aidiladha saja.

"Jadi, dalam kehidupan ini, setiap masa, detik ketika kita sentiasa melakukan banyak pengorbanan. Kadang untuk kebahagiaan orang, kadang untuk mengembirakan orang. Itu berkorban juga.

"Macam saya, pengorbanan yang pernah buat dalam diri, ada banyak. Tapi, dalam kehidupan ini saya berasakan banyak juga keputusan yang dibuat demi kebahagiaan mak, anak dan orang lain.

"Walaupun kadang sakit sangat untuk diri kita, kerana di luar kemahuan, kerelaan dan kesukaan kita, tapi demi orang yang kita sayang dan bererti dalam hidup, kita korbankan.

"Saya tak bercakap korban harta atau apa, itu cerita lain. Tapi, apa saya cuba perkatakan adalah pengorbanan dari segi perkara yang kita tak suka buat sebenarnya, tapi demi menggembirakan orang lain," katanya.

Menurut Erra, dia percaya pengorbanan yang dibuat itu membuat dirinya menjadi manusia seperti hari ini.

"Saya sangat percaya setiap pengorbanan yang dibuat itu menjadikan saya manusia cekal. Kita melihat sesuatu dari perspektif berbeza dan lebih menghargai diri. Bukan kata bila kita berkorban, kita merendahkan diri. Ada orang pemahaman dia, kena lawan untuk hak. Tapi bagi saya, pengorbanan untuk orang lain itu menambahkan lagi nilai pada diri.

"Saya sakit tapi boleh terima sakit itu demi melihat kebahagiaan orang. Saya selalu berterima kasih pada diri sebab sudah berkorban. Kadang saya minta maaf pada diri, pada roh sendiri kerana membuat sesuatu yang di luar kemahuan. Tapi untuk mendidik diri supaya sentiasa merendah diri, ia banyak mengajar saya erti reda dan lepaskan. Jangan anggap ia hak kita selamanya. Kalau ia bukan untuk kita, tak mengapa. Kalau ia buat anda gembira, okay saja," katanya.

Rancang Album

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Erra baharu saja merakamkan semula lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara dalam versi 'jamming' sebagai hadiah buat peminat.

"Saya tidak rakam semula, tapi 'jamming' saja. Sebabnya, saja nak nyanyi versi sekarang. Kalau dengar semula pun, bukan 'full instrument'. Ia hanya piano dan sangat ringkas. Sekadar nak nyanyi dan segarkan semula.

"Ia juga hadiah buat peminat saya. mMereka pun gembira ada buah tangan untuk mereka. Kadang terfikir juga, okay juga buat macam itu kerana generasi sekarang ada juga tak tahu saya pun penyanyi dulu. Sedikit sebanyak, ia membuka lembaran baharu saya kepada pencinta muzik generasi sekarang," katanya.

Selain itu, Erra turut berkongsi dalam perancangan untuk menghasilkan album penuh.

"Projek lain, tengah nak buat album. Ia juga hadiah buat peminat. Selalu buat single, tapi saya rindu nak buat album. Walaupun orang tak dengar sangat, tapi saya nak kembalikan zaman dulu.

"Ia bakal menjadi hadiah untuk simpanan dan koleksi peminat. Walaupun nampak macam 'old school', tapi ia boleh dianggap sebagai hadiah untuk peminat. Bukan sekadar cakera padat (CD) semata-mata, ia tetap ada nilai tersendiri. Boleh disimpan dan jadikan kenangan. Ini yang saya usahakan sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:00 AM