PENYANYI, Khai Bahar pada perlantikan ikon Raza Holidays Sdn Bhd di Restoran Rebung. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PENYANYI, Khai Bahar pada perlantikan ikon Raza Holidays Sdn Bhd di Restoran Rebung. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sudirman Mohd Tahir


IMPIAN penyanyi remaja popular, Khai Bahar untuk membawa kedua-dua ibu bapanya menunaikan umrah tercapai dua tahun lalu.

Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharuddin menganggap ia sesuatu yang sangat berharga meski hakikatnya tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan orang tua yang melahir dan membesarkannya.

Pada masa sama, Khai yang popular menerusi lagu Luluh turut menyimpan impian membawa keluarganya bercuti dan perkara itu sering tertangguh.

“Alhamdulillah, niat nak bawa mak dan ayah pergi umrah sudah terlaksana. Lepas satu hajat saya. Insya-Allah, jika ada rezeki dan mereka diberi kesihatan baik saya nak bawa lagi.

“Tinggal lagi, saya nak bawa keluarga pergi bercuti. Perancangan ini sudah lama tetapi belum dapat dilaksanakan sebab jadual kerja saya padat. Lagipun, susah nak sesuaikan dengan masa adik-beradik. Jumlah keseluruhan kalau termasuk anak saudara lebih 20 orang.

“Tidak dapat pergi jauh, dalam negara pun okey. Sebagai contoh Pulau Langkawi. Bagi saya ia sudah cukup menggembirakan,” katanya.

Bukan itu saja, Khai yang sekali lagi akan menunaikan umrah pada Mei ini turut memasang niat mengerjakan ibadah haji pada usia muda.

PENGARAH Urusan Raza Holidays, Mohammad Ghazali Mat Rejab (dua kiri) bersama penyanyi, Khai Bahar (kiri) dan Azadan Rabbani pada perlantikan ikon Raza Holidays Sdn Bhd di Restoran Rebung. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PENGARAH Urusan Raza Holidays, Mohammad Ghazali Mat Rejab (dua kiri) bersama penyanyi, Khai Bahar (kiri) dan Azadan Rabbani pada perlantikan ikon Raza Holidays Sdn Bhd di Restoran Rebung. FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Perasaan dapat ke Tanah Suci Makkah memang tak dapat digambarkan. Ia sesuatu yang sangat indah. Pergi sekali akan rasa nak pergi lagi.

“Kalau tanya ibadat haji, sudah semestinya saya nak. Apatah lagi pada usia muda ini ia satu nikmat yang tak terhingga. Bagaimanapun, ia berbalik kepada rezeki.

“Lagipun, untuk menunaikan haji banyak persiapan perlu dilakukan terutama diri. Apa yang penting, sentiasa berdoa diberi kesihatan baik dan dilimpahkan rezeki,” katanya.

Bercerita lanjut, Khai meluahkan rasa syukur apabila dilantik menjadi ikon agensi umrah bersama Azadan Rabbani.

Umrah bersama Khai dan Azadan pada Ramadan ini bermula pada 2 hingga 13 Mei.

“Ini bukan percutian, sebaliknya pengalaman yang takkan jumpa di mana-mana. Disebabkan itu, saya memang tak nak lepaskan peluang. Satu kerugian besar jika saya tolak tawaran mereka.

“Macam program amal lain pun, saya buat secara sukarela. Saya mahu melakukan perkara yang berfaedah.

“Andai selepas ini ada lagi tawaran sama, saya akan buat. Bukan mudah kita nak ke sana. Pada masa sama, saya menganggap peluang sebegini rezeki,” katanya.

Persiapan AJL

PERKEMBANGAN lain, Khai kini mempersiapkan diri untuk Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) yang bakal berlangsung 3 Februari ini.

Khai yang mempertaruhkan lagu Luluh hasil ciptaan sendiri sepenuhnya. Apa yang dititikberatkan adalah nyanyian dan vokal.

“Susunan penuh lagu sudah siap. Tahun ini saya meminta bantuan Ernie Zakri dari segi idea bagi mencantikkan susunan lagu. Selain itu, saya juga menggunakan khidmat Ernie sebagai guru vokal sejak peringkat separuh akhir.

“Tahun ini saya nak fokus vokal. Saya tak nak buat kesilapan dari segi nyanyian seperti tahun lalu.

“Dalam pertandingan ini, orang memang nak dengar suara dan kemampuan kita menyanyi secara langsung. Jadi, saya mahu berikan yang terbaik,” katanya.

Khai yang mendapat undian pertama untuk membuat persembahan mengakui gementar.

“Ini pertandingan berprestij. Sebagai penyanyi baru, ia platform yang besar buat saya. Tidak dinafikan, perasaan gementar menguasai diri. Apatah lagi selepas dapat giliran pertama untuk beraksi, lagi gementar.

“Namun, saya cuba kawal perasaan itu. Saya tak mahu ia mengganggu nyanyian saya seperti tahun lalu. Disebabkan itu, saya kena fokus,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan daripada penyanyi senior seperi Misha Omar, Siti Sarah, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Hael Husaini, menurut Khai setiap penyanyi ada kelebihan tersendiri.

“Senior tetap senior. Saya dan penyanyi baru lain perlu ambil pengalaman daripada mereka. Apabila berada dalam pertandingan, kami tak boleh main-main. Saya percaya semua orang nak berikan yang terbaik.

“Malah, setiap penyanyi juga ada keunikan tersendiri. Kalau pertandingan ini tak ada penyanyi senior sekali pun, saya tetap akan berikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 5:30 AM