Nathan Renze Chasters, 14 yang masih hilang.
Nathan Renze Chasters, 14 yang masih hilang.
Omar Ahmad


Mersing: Bapa kepada penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renze Chasters, 14 yang masih hilang, menerima dan faham bahawa Op Carilamat yang dijalankan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia ditamatkan kerana tiada petunjuk penemuan mayat anaknya.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Adrian Peter Chesters, 46 memaklumkan kepadanya ketika dihubungi melalui panggilan telefon, pagi hari ini.

Katanya, nada suara Adrian juga tenang dan memahami.

"Bapa Nathan mengucapkan terima kasih dan memahami perkara ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Cyril berkata, Adrian dan penyelam warga Perancis, Alexia Alexandria Molina, 18 yang sebelum ini dirawat di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang juga sudah dibenarkan pulang tiga hari lalu.

Katanya, jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35 yang sebelum ini mendapatkan rawatan di Hospital Mersing juga sudah dibenarkan pulang pada hari sama.

"Kesemua penyelam yang mendapatkan rawatan sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing di Kuala Lumpur.

"Pihak Polis juga sudah merekodkan keterangan Kristine berhubung kejadian pada Jumaat lalu. Butiran siasatan tidak boleh dinyatakan," katanya.

Semalam, BASARNAS Indonesia menghentikan Op Carilamat mayat remaja terbabit berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.

Pusat Operasi BASARNAS Tanjung Pinang, mengumumkan penutupan operasi setelah tujuh hari pencarian bermula pada 10 April lalu di sektor perairan Indonesia tidak menunjukkan sebarang petunjuk dan penemuan.

Pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing hilang ketika melakukan aktiviti latihan selaman Pulau Tokong Sanggol, Mersing di sini dipercayai akibat arus air yang kuat.

Berita berkaitan:

  • 4 penyelam hilang : Op Carilamat Indonesia dihentikan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 1:40 PM