ONN Hafiz (kanan) mempersembahkan  hasil dapatan dan perbincangan untuk mendapatkan pandangan dan perkenan Sultan Ibrahim. FOTO ihsan Pejabat MB.
ONN Hafiz (kanan) mempersembahkan hasil dapatan dan perbincangan untuk mendapatkan pandangan dan perkenan Sultan Ibrahim. FOTO ihsan Pejabat MB.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membentangkan hasil dapatan kerajaan negeri berkaitan untuk pertimbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri berharap baginda membuat pertimbangan yang terbaik untuk rakyat Bangsa Johor.

"Syukur Alhamdulillah, hari ini patik membentangkan hasil dapatan kerajaan negeri berkaitan penyelarasan cuti hari minggu untuk pertimbangan Tuanku Sultan Johor.

"InsyaAllah Tuanku akan membuat pertimbangan demi rakyat Bangsa Johor, menjunjung kasih Tuanku," katanya menerusi perkongsian di media sosial Facebook (FB) hari ini.

Onn Hafiz sebelum ini menyatakan keputusan cuti hujung minggu di negeri ini sama ada kekal atau ditukar ditentukan menerusi libat urus membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor.

Sebanyak 93 peratus tenaga kerja yang terbabit libat urus itu adalah pekerja swasta.

Onn Hafiz juga mempengerusikan mesyuarat ketiga kerajaan negeri yang membincangkan penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi Johor.

Beliau menyatakan hasil dapatan dan perbincangan ini akan disembah untuk mendapatkan pandangan dan perkenan kepada Sultan Johor.

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:40 PM