Onn Hafiz Ghazi (kanan), bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghadiri majlis makan malam UMNO Johor sempena kejayaan cemerlang pada PRN Johor lalu, semalam. FOTO IHSAN FB ONN
Onn Hafiz Ghazi (kanan), bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghadiri majlis makan malam UMNO Johor sempena kejayaan cemerlang pada PRN Johor lalu, semalam. FOTO IHSAN FB ONN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon restu dan pertolongan Datuk Seri Hasni Mohammad dan seluruh kepimpinan Umno Johor membawa negeri itu ke era lebih gemilang.

Onn Hafiz berkata, beliau dengan rendah diri memohon restu dan bantuan daripada Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor selain kepimpinan Umno negeri.

"Saya dengan rendah diri memohon restu dan pertolongan Datuk Seri Hasni dan semua kepimpinan Umno Johor untuk sama-sama kita bawa Johor ke era yang lebih gemilang.

"Insya-Allah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing," katanya dalam muat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz menyertai Hasni, Ketua Bahagian Umno Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin serta kepimpinan Umno Johor lainnya dalam majlis makan malam sempena Persidangan Agung Umno 2021, malam tadi.

Selasa lalu, media melaporkan cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar, iaitu Onn Hafiz, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira 3 petang semalam.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Hasni, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Sementara itu, Onn Hafiz bersyukur dan berterima kasih kerana dapat menyertai majlis makan malam bersama UMNO Johor itu.

"Muafakat itu berkat. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana dapat makan malam bersama keluarga Umno Johor semalam.

"Terima kasih Datuk Seri Hasni Mohammad, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua-Ketua Bahagian, sayap-sayap Wanita, Pemuda, Puteri, kepimpinan di peringkat bahagian, cawangan dan semua ahli-ahli parti yang banyak berjasa dalam membawa kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 9:58 AM