Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pelantikan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) sekali gus memperkenankan majlis mengangkat sumpah EXCO diadakan Sabtu ini di Istana Bukit Serene. FOTO IHSAN FB MB
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pelantikan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) sekali gus memperkenankan majlis mengangkat sumpah EXCO diadakan Sabtu ini di Istana Bukit Serene. FOTO IHSAN FB MB
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sudah memperkenankan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) bagi dilantik dan mengangkat sumpah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia berikutan beliau sudah mempersembahkan senarai barisan Exco itu kepada Sultan Ibrahim, pagi tadi.

"Sultan Ibrahim memperkenankan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Exco diadakan pada Sabtu ini iaitu 26 Mac, 2022, di Balai Mengadap Istana Bukit Serene. Menjunjung kasih Tuanku," katanya dalam muat naik di akaun Facebooknya, pagi ini.

Pada 18 Mac lalu, media melaporkan cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, iaitu Onn Hafiz, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, kira-kira jam 3 petang hari berkenaan.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 9:15 AM