Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Datuk Onn Hafiz Ghazi memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Johor ke-19, pagi ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap tiba di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad pada jam 10 pagi disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan.

Upacara ringkas dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

Beliau kemudian menandatangani perakuan memulakan tugas rasminya di pejabat Menteri Besar.

Semalam, media melaporkan cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar itu dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira jam 3 petang.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

ONN Hafiz diiringi Azmi tiba di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ONN Hafiz diiringi Azmi tiba di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 11:04 AM