TERHARU sambutan peminat dalam Dolla Mini Showcase, impikan persembahan berskala besar.
TERHARU sambutan peminat dalam Dolla Mini Showcase, impikan persembahan berskala besar.
Najiy Jefri


ANGGOTA kumpulan Dolla menitiskan air mata gembira selepas berlangsungnya Dolla Mini Showcase di Nero, Event Space, PJPAC, 1Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya dilihat begitu terharu dengan sokongan peminat yang sanggup datang menyaksikan persembahan mereka serta menyokong perjalanan karier seni sehingga kini.

Tampil membuat persembahan dengan lima lagu, persembahan itu dilihat berjaya menghiburkan hampir 150 penonton.

Apa tidaknya, kelincahan Dolla saat menyanyikan beberapa lagu hits mereka membuktikan kumpulan berkenaan memiliki aura dan keunikan tersendiri.

Syasya berkata, mereka mengaku tersentuh apabila persembahan yang julung kali diadakan itu mendapat respons yang positif selain antara paling dinantikan selepas penubuhan Dolla, dua tahun lalu.

"Dolla muncul ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu. Sebaik melihat iDolla di depan mata, kami tersentuh kerana inilah momen paling dinantikan.

"Peminat adalah kunci kejayaan kami selama ini. Kalau diikutkan, kami tidak mahu menangis kerana jurusolek awal-awal lagi sudah pesan nanti mekap rosak.

"Tetapi, nak buat macam mana. Perasaan kami sangat sensitif terutama membabitkan peminat. Bukan itu sahaja, kehadiran keluarga membuatkan kami sangat terharu. Mereka memberi motivasi buat kami semua," katanya.

DOLLA memberikan persembahan penuh bertenaga pada acara yang dihadiri 150 penonton.
DOLLA memberikan persembahan penuh bertenaga pada acara yang dihadiri 150 penonton.

DOLLA tampil dalam showcase istimewa kira-kira sejam mendendangkan lima lagu.
DOLLA tampil dalam showcase istimewa kira-kira sejam mendendangkan lima lagu.

Menerusi showcase itu, Dolla menyanyikan lima lagu hits mereka. Antaranya Berani, Watch Me Glow, Dolla Make You Wanna, Bad serta 'cover' lagu Cold Blooded yang dipopularkan penyanyi Korea Selatan, Jessi.

Menurut Sabronzo, kesemua anggota kumpulan berlatih hampir sebulan untuk memastikan persembahan terbabit dijayakan dengan penuh tersusun dan meriah.

"Kami berlatih sejak sebulan lalu. Untuk tarian sahaja kami berlatih enam jam manakala latihan vokal mengambil masa dua hingga tiga jam sehari," katanya.

Bagi Tabby, persembahan terbabit turut dianggap sebagai satu permulaan untuk meeeka membuat persembahan skala besar.

"Apabila mendapat tahu ramai peminat tidak dapat untuk bersama-sama kerana lokasi agak kecil, dari situ timbul keinginan mengadakan persembahan di lokasi yang lebih besar. Kami harap hasrat itu dapat ditunaikan secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Dolla Mini Showcase turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi baharu, Juki yang menghiburkan penonton menerusi single pertamanya, Pacu yang bakal dilancarkan pada 11 Mac depan.

Lebih istimewa, selesai saja acara nyanyian itu berlangsung peminat turut berpeluang beramah mesra dengan Dolla.

Kejayaan awal persembahan itu adalah apabila tiket laris dijual dalam tempoh lima minit selepas dilancarkan pada 30 Januari lalu.

Dolla sebelum ini pernah meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila terpilih sebagai artis wanita berkumpulan pertama negara yang ditampilkan di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 6:00 AM