DOLLA mahu wanita jangan layan persepsi negatif menerusi single berjudul Berani.
DOLLA mahu wanita jangan layan persepsi negatif menerusi single berjudul Berani.
Najiy Jefri


KUMPULAN yang kini kian terbang tinggi, Dolla dilihat berjaya mencipta populariti sejak mengintai peluang dalam industri muzik sejak dua tahun lalu.

Siapa sangka, Dolla yang dianggotai Syasya, Sabronzo, Angel dan Tabby ini perlahan-lahan membuktikan kemampuan diri mereka sebagai 'girl band' yang pantas mendapat tempat di hati peminat.

Sering membawakan lagu bertema memperkasa wanita seperti Impikan dan Berani, Tabby mengakui kumpulan itu mempunyai konsep sedemikian memandangkan semua anggotanya terdiri daripada kaum hawa.

"Dolla mempunyai konsep untuk memperkasakan wanita, tapi kami tetap menyokong semua orang bukan saja wanita.

"Wanita mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk melakukan apa saja yang mereka impikan. Selagi ada usaha pasti ada jalan untuk berjaya," kata Tabby.

Menurut Tabby, wanita yang masih takut untuk membuktikan kebolehan diri perlu berani mencuba dan membuat perubahan.

"Ia menjadi matlamat Dolla mahu membuktikan wanita adalah berani. Dolla sedar kebanyakan wanita takut membuat perubahan atau keluar dari kehidupan hanya kerana kata-kata negatif yang dilemparkan.

BARU dua tahun mencipta nama Dolla kian terbang tinggi.
BARU dua tahun mencipta nama Dolla kian terbang tinggi.

"Justeru, menerusi single terbaharu berjudul Berani, Dolla menyampaikan mesej wanita tidak perlu takut dengan persepsi negatif atau kecaman yang boleh melunturkan semangat.

"Jika rasa apa yang dilakukan betul dan terbaik, teruskan saja," katanya.

Menyentuh mengenai single Berani ciptaan John Jeeves dan Firdaus Rahmat itu. Syasya berkata, lagu itu bukan sekadar memperjuangkan semangat 'feminisme', malah boleh menjadi sumber inspirasi kepada sesiapa yang menghadapi masalah kehidupan.

"Berani bukan saja boleh dijadikan pembakar semangat, tetapi menjadi inspirasi untuk Dolla kuat dalam menghadapi cabaran terutama berdepan situasi getir ketika penularan Covid-19.

"Tidak dinafikan Berani juga mampu menjadi penawar kepada luka kekecewaan akibat putus cinta," katanya.

Biarpun kehadiran Dolla dilihat bukan pada waktu yang tepat kerana penularan Covid-19, namun kumpulan itu tidak pernah menyesal sebaliknya banyak pengalaman yang ditimba.

DOLLA akui tampil konsep memperkasa wanita.
DOLLA akui tampil konsep memperkasa wanita.

"Sejujurnya kami belajar banyak perkara seperti berinteraksi dengan peminat melalui sosial media.

"Jika dilihat kumpulan popular dari Korea Selatan pun menggunakan platform media sosial untuk berinteraksi dengan peminat sehingga mereka dikenali ramai.

"Jadi, kami ambil peluang dan masa ini untuk mempelajari cara penggunaan media sosial dengan baik. Tiada istilah menyesal apabila kami belum berpeluang untuk menghiburkan peminat di khalayak ramai," katanya.

Dalam pada itu, Dolla mengumumkan bakal mengadakan konsert amal secara maya pada 30 Oktober depan.

Dibawakan oleh MK Group, konsert yang diberi judul Stay Strong Malaysia itu bakal distrim secara langsung dari sebuah lokasi tertutup dalam bentuk maya oleh Hitman Group, namun tetap menekankan elemen hiburan yang diidamkan rakyat Malaysia di rumah secara selamat.

Konsert yang diadakan bermula jam 8 malam itu bukan saja dianjurkan untuk menghiburkan penonton, tetapi juga bertujuan mengumpul dana bagi petugas barisan hadapan.

SENTIASA memperjuangkan semangat ‘feminisme’ dalam karya.
SENTIASA memperjuangkan semangat ‘feminisme’ dalam karya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 6:30 AM