MENYERLAH, Dolla dianggotai Angel (dari kiri), Sabronzo, Syasya dan Tabby.
MENYERLAH, Dolla dianggotai Angel (dari kiri), Sabronzo, Syasya dan Tabby.
Norhayati Nordin


BIARPUN kemunculan Dolla di persada industri hiburan tanah air secara serius menghampiri dua tahun, namun pencapaian diperoleh mereka agak positif dan kini terus mendaki puncak kegemilangan.

Sudah tampil dengan empat single sebelum ini seperti Makes You Wanna, Impikan, Watch Me Glow dan Raya Raya Raya, Dolla hadir pulq mempertaruhkan karya baharu berjudul Berani.

Dilancarkan baru-baru ini, Berani lebih mengisahkan perjuangan wanita yang sentiasa tabah dan kental dalam berhadapan dugaan hidup berliku. Bahkan, kejayaan juga tidak mudah diperoleh tanpa usaha.

Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel, memaklumkan single Berani itu lebih kepada menyebarkan 'vibe' positif untuk golongan wanita di negara ini. Malah, single Berani juga diakui cukup membawa makna besar buat mereka.

Angel berkata sukar untuk dilupakan kehadiran Dolla mewarnai industri hiburan tanah air ketika pandemik Covid-19, pada tahun lalu. Ujarnya, single mereka iaitu Makes You Wanna dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

"Sebenarnya, kami pun tidak menduga Dolla mampu berjaya sejauh ini. Ia berikutan, kita semua sedia maklum bahawa terdapat banyak kekangan harus dihadapi ketika pandemik terutama urusan promosi dan publisiti single.

"Dolla sangat berterima kasih kepada peminat kami yang terus memberikan sokongan. Tak dinafi, ia menjadi pembakar semangat buat kami untuk memberi yang terbaik dalam perjuangan muzik Dolla," katanya.

Menurut Angel, single Berani yang dicipta sepenuhnya oleh John Jeevas dan Firdaus Rahmat ini, diakui amat istimewa buat Dolla. Katanya single Berani adalah sebahagian daripada kisah perjalanan kerjaya seni Dolla yang tak lepas kritikan.

Mengulas juga muzik video Berani yang diterbitkan secara animasi, Sabronzo pula berkata ia seiring dengan situasi pandemik di tanah air yang masih menunjukkan kes penularan tinggi ketika Dolla merakamkan single berkenaan.

"Jadi, bagi menjaga keselamatan kita semua, semestinya pemilihan muzik video Berani secara animasi adalah tepat. Kami pun amat berpuas hati dengan hasil animasi untuk Dolla ini. Boleh dikatakan, setiap karekter kami itu memang kena dengan diri masing-masing.

DOLLA akui single Berani sebarkan semangat positif untuk golongan wanita.
DOLLA akui single Berani sebarkan semangat positif untuk golongan wanita.

"Apapun, Dolla mengharapkan single Berani diterima baik pendengar. Malah, kami juga sudah merakamkan karya ini sebaik mungkin kerana single Berani padat dengan mesej-mesej positif," katanya.

Baru-baru ini, Dolla juga berkongsi kegembiraan mereka menjadi artis ketiga dari Malaysia selepas Yuna dan Layla Sania yang dipilih muncul di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat bagi kempen EQUAL oleh pelantar penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Tidak hanya itu, Dolla turut melakar sejarah dalam pencapaian karier seni apabila mendapat Anugerah Platinum untuk 'Best Selling Single', bagi lagu Impikan yang sudah distrim lebih 200,000 penggemar muzik masa kini.

Bagi muzik video Berani yang dilancarkan pada 24 September lalu di saluran YouTube Dolla, hingga kini sudah mencatat lebih 382,000 tontonan dengan 15,000 komen pendengar serta berada di kedudukan #23 'trending' muzik Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:20 AM