RIENA gunakan masa terluang sepanjang PKP sebaik mungkin  bersama nenek kerana  tinggal bersamanya dan bapa saudara.
RIENA gunakan masa terluang sepanjang PKP sebaik mungkin bersama nenek kerana tinggal bersamanya dan bapa saudara.
Syafil Syazwan Jefri

SETIAP apa yang berlaku, tentunya ada hikmah di sebalik kejadian. Bagi umat Islam, Ramadan tahun ini tentunya menjadi satu kenangan buat kita semua.

Bagi pelakon, Riena Diana, kehadiran Ramadan tahun ini sedikit sebanyak memberi ruang buatnya untuk meluangkan masa bersama keluarga berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Kalau difikirkan semula, krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini memang banyak menimbulkan rasa kesedihan dalam hati kita semua memandangkan tidak dapat melakukan pelbagai rutin Ramadan seperti sebelum ini.

"Namun, jika dilihat dari perspektif berbeza, ada hikmah daripada kejadian dan ini mungkin menjadi peluang terbaik untuk kita gunakan sebaik mungkin dalam menghayati erti Ramadan itu sendiri," katanya.

Riena yang ramah berbicara turut terbuka berkongsi pengalamannya menjalani ibadah puasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa kini.

"Kalau sebelum ini, dalam bulan Ramadan pun ada beberapa penggambaran drama yang berjalan. Jadi, saya jarang dapat berbuka puasa dengan keluarga memandangkan banyak masa dihabiskan di lokasi.

"Jadi, tahun ini sangat berbeza kerana saya ada banyak masa dihabiskan di rumah. Saya gunakan sebaik mungkin untuk diluangkan bersama nenek kerana saya tinggal bersamanya dan bapa saudara.

"Di rumah, kami berpeluang memasak dan berbuka puasa bersama termasuk bersolat Tarawih juga. Tentunya sedikit sebanyak, detik ini mengeratkan silaturahim kami sesama anggota keluarga," katanya.

Dalam Ramadan ini juga, Riena bersyukur kerana tiga drama lakonannya ditayangkan secara serentak.

"Tiga karya lakonan saya adalah drama baru berjudul Leon Zalika yang ditayangkan di TV Okey RTM, manakala dua lagi drama adalah drama ulang siar iaitu Kampung People dan Nur yang ditayangkan di TV3.

"Ini pun saya anggap sebagai rezeki memandangkan ia membantu dalam memastikan momentum pergerakan karier saya tidak pudar walaupun seluruh industri hiburan terpaksa 'direhatkan' buat seketika," katanya.

BERSYUKUR tiga drama lakonannya ditayangkan serentak di TV sepanjang Ramadan ini.
BERSYUKUR tiga drama lakonannya ditayangkan serentak di TV sepanjang Ramadan ini.

Cabaran watak dalam Leon Zalika

Berkongsi mengenai Leon Zalika, Riena juga tidak menyangka ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

"Mungkin kerana waktu tayangannya kena dengan masa orang ramai menonton iaitu jam 10 malam, jadi dapatlah menarik penonton. Satu kejutan juga buat saya apabila ramai yang memberikan maklum balas positif," katanya.

Riena juga tidak menafikan sekiranya sambutan itu juga adalah impak daripada drama Kampung People dan Nur.

"Semuanya nampak teratur dengan baik dan alhamdulillah, ramai masih lagi memberikan reaksi positif terutama, karakter saya sebagai Laila dalam Kampung People walaupun ia diulang tayang," katanya.

Dalam drama bersiri Leon Zalika arahan pengarah Shuhaimi Lua itu, Riena berganding dengan pelakon Dini Schatzmann memegang karakter sebagai Zalika.

"Karakter Zalika adalah satu watak yang agak mencabar buat diri saya kerana tak pernah bawakan karakter sebegitu. Dia bermula sebagai gadis liar yang suka bersosial dan kemudian, patah hati dengan lelaki Melayu.

"Jadi, dia ingin mendekati lelaki mat salih dan bertemu dengan Leon lakonan Dini. Dia fikir, Leon adalah lelaki mat salih yang terbuka dan sama sepertinya, namun jangkaannya meleset kerana Leon adalah seorang yang alim dan bergelar ustaz.

"Selepas berkahwin, barulah dia tahu siapa diri sebenar Leon dan perlahan-lahan, mula berubah kepada wanita yang lebih baik. Cabaran buat saya adalah untuk menukar daripada karakter liar kepada wanita yang sopan," katanya.

Selain Riena dan Dini, drama bersiri itu turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Mona Allen, Mathni Razak, Nadia Brian, Raja Ilya, Maria Farida, Mustapha Kamal, Sharmaine Farouk, Muntazar Ghani, Dazrin Kamarudin, Laila Nasir, Zaefrul Nordin, Sherry Al Jerry, Doria Rachel Jolly dan Rashidah Jaafar.

TERIMA maklum balas positif atas karakter Zalika dilakonkan dalam drama Leon Zalika.
TERIMA maklum balas positif atas karakter Zalika dilakonkan dalam drama Leon Zalika.

Banyak aktiviti seni tertangguh

Berkongsi mengenai pelbagai aktiviti yang tertangguh, Riena tidak menafikan ada beberapa kerja yang terbatal dan perlu disusun semula.

"Kebanyakannya kerja-kerja tertangguh. Yang terakhir, saya ada menjalani penggambaran untuk program travelog berjudul By The Sea sebagai pengacara. Mujurlah saya sempat pulang ke Kuala Lumpur dari Langkawi.

"Selain itu, dalam bulan Mac dan April ini juga ada beberapa penggambaran yang sepatutnya berjalan antaranya drama Kampung People musim kedua, siri web Kampung People dan juga telefilem Kampung People sempena Aidilfitri," katanya.

Yang pasti, Riena mengharapkan supaya semuanya dapat kembali seperti sediakala dan kerja seni yang banyak tertangguh dapat diteruskan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:00 AM