Dr Chin bersama miliki LCP yang dikeluarkan KKM.
Dr Chin bersama miliki LCP yang dikeluarkan KKM.
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur:Hanya kira-kira 300 doktor dalam bidang estetik atau rawatan kecantikan yang mempunyai pentauliahan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Perubatan Estetik Malaysia, Dr Chin Shih Choon yang berkata, bilangan pakar bertauliah di negara ini terlalu kecil kerana ujian dijalankan amat ketat berikutan prosedur rawatan berisiko tinggi.

Menurutnya, setiap doktor perubatan estetik perlu mempunyai sijil pentauliahan Letter of Credentialing and Privileging (LCP) daripada KKM sebelum boleh menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan.

"Doktor perubatan estetik mesti bekerja di hospital swasta sekurang-kurangnya dua tahun, memenuhi keperluan latihan dan lulus peperiksaan pelesenan.

"Selain itu, mereka perlu menghadiri temu duga oleh pakar pembedahan plastik, pakar kulit, pakar estetik dan pegawai KKM.

"Pengamal perubatan terbabit mesti mengikuti langkah disenaraikan untuk menjadi doktor perubatan estetik diperakui," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya mengenai pusat estetik didalangi warga asing yang mendakwa diri pakar estetik dari luar negara, Dr Chin tidak menafikan ada doktormempunyai sijil pentauliahan dari negara masing-masing.

Namun, beliau berkata, mereka tidak dibenar mengamal perubatan di negara ini jika tiada LCP dan Sijil Pengamalan Sementara (TCP) dikeluarkan KKM seperti disyaratkan.

Harian Metro difahamkan, kebanyakan pusat kecantikan di negara ini dikendalikan warga asing tidak bertauliah dengan majoritinya didakwa cenderung bermotifkan keuntungan.

Selain memperdaya pelanggan dengan iklan kecantikan yang kononnya dikendalikan pakar, bahan digunakan dalam rawatan juga diragui.

Mengulas prosedur tepat sebelum pelanggan menjalani rawatan kecantikan, Dr Chin berkata, mereka perlu bertemu pakar perunding terlebih dahulu bagi mendapatkan sejarah perubatan atau penyakit dihidapi.

Tambah beliau, pakar perubatan akan menilai rawatan sesuai, selain pembedahan mesti mendapat kelulusan pakar bius.

"Tanpa pengetahuan perubatan, seseorang yang tidak berpengalaman atau terlatih akan menyebabkan kecederaan. Jika masalah timbul semasa rawatan, pakar perubatan boleh menangani masalah sebaiknya.

"Ia tidak sesuai dilakukan di pusat kecantikan biasa atau hotel kerana berisiko apabila berlaku masalah seperti alahan ubat, pengsan, pendarahan berlebihan dan sebagainya," katanya.

Justeru, katanya, rawatan dan pembedahan perlu dibuat di hospital atau klinik estetik berdaftar yang mempunyai peralatan lengkap termasuk ubat kecemasan.

Beliau menasihati orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan kecantikan supaya menyemak status klinik di laman sesawang KKM dan bertanya sendiri pakar estetik ditemui sama ada mereka ada sijil pentauliahan atau sebaliknya.

Tambahnya, lebih baik mendapatkan kepastian terlebih dahulu sebelum melakukan rawatan kerana ia bukan saja mengundang risiko tetapi mengancam nyawa.

Semalam Harian Metro melalui laporan khas secara eksklusif melaporkan ada lebih 20 pusat kecantikan atau medispa di Lembah Klang dan beberapa negeri di Utara serta Selatan tanah air didalangi pakar bedah warga asing menjalankan prosedur pembedahan dengan harga bajet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 12:00 PM