Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Kepetahan mereka berbicara soal prosedur rawatan dan produk digunakan tidak ubah seperti doktor bertauliah yang mempunyai pengalaman di lapangan bertahun lamanya.

Malah mereka begitu arif soal kaedah rawatan filler, suntikan pemutih Vitamin C, botox selain berkebolehan melakukan pemasangan pendakap gigi (braces) dan membersihkan gigi (scalling) gigi secara solo.

Namun hakikatnya mereka ini hanyalah golongan gadis biasa yang tidak pernah mendapat pendidikan perubatan secara formal atau melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian dari mana-mana universiti tempatan mahupun luar negara.

Segala ilmu yang diperolehi itu hanyalah hasil maklumat dikutip dari media sosial selain meniru cara rawatan di laman sosial YouTube.

Terbaru, seorang gadis berusia awal 20-an ditahan sepasukan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibantu anggota polis Daerah Gombak yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Selayang, Selangor, semalam.

Sumber berkata, gadis yang bekerja sebagai pramugari itu ditahan susulan risikan mendapati suspek menjalankan kegiatan perubatan estetik tidak berdaftar selain berperanan sebagai doktor gigi palsu.

Menurutnya, gadis terbabit dikesan menawarkan khidmat estetik membabitkan sulam kening, sulam bibir, suntikan cecair pemutih kulit (whitening),selain memasang pendakap gigi.

"Siasatan mendapati gadis itu menggunakan laman sosial Instagram untuk menawarkan rawatan estatik haram itu kepada orang ramai.

"Pelanggan yang bersetuju dengan caj ditetapkan akan datang ke rumah gadis terbabit untuk mendapatkan rawatan.

"Gadis itu dikesan menyediakan bilik khusus untuk rawatan dengan kemudahan dua katil. Biasanya pelanggan hanya akan datang mendapatkan khidmat pada waktu malam sahaja.

"Dia mengakui mempelajari semua kaedah itu melalui laman sosial YouTube selain menghadiri kelas haram," katanya.

PEGAWAI KKM melabel barang rampasan.
PEGAWAI KKM melabel barang rampasan.

Menurutnya, suspek mendakwa mampu memperolehi sehingga 40 pelanggan dalam tempoh sebulan dengan caj bayaran mencecah sehingga RM400 bagi setiap rawatan.

"Suspek mengaku membeli semua kimia dan alatan untuk rawatan estetik melalui tempahan di laman jual beli dalam talian terkemuka. Produk ditempah dari luar negara itu akan sampai ke rumahnya tanpa perlu dia mendapatkannya di pasaran.

"Susulan itu pegawai KKM melakukan pemeriksaan rapi di rumah berkenaan sebelum merampas semua barangan dan produk digunakan untuk rawatan haram itu," katanya.

Sementara itu dalam satu lagi operasi berasingan, pihak KKM turut menyerbu sebuah rumah di Segambut, di sini, yang diubah suai menjadi pusat rawatan estetik haram.

Hasil pemeriksaan dilakukan, seorang wanita muda berusia awal 20-an dikesan menawarkan pelbagai rawatan estetik dan gigi kepada orang ramai.

Wanita terbabit yang dipercayai memperolehi pendapatan beribu ringgit sebulan menawarkan khidmat membuat pendakap gigi dan cuci gigi (scalling).

Pada Julai lalu, seorang bekas pramugari berusia 25 tahun turut ditahan pegawai KKM selepas dikesan menawarkan rawatan sama di sebuah premis di Bukit Jalil di sini, selain dua pusat pergigian haram di Bangi dan Subang Jaya, Selangor.

Semua ditahan akan disiasat mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] iaitu menyediakan klinik pergigian atau klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Akta ini dan di bawah Akta Pergigian 2018 [Akta 804] di mana amalan pergigian dilakukan oleh orang tidak berdaftar.

Isnin lalu, Pakar bedah plastik dan Rekonstruktif, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar meluahkan kebimbangan susulan kebanjiran klinik dan premis kecantikan yang menawarkan perkhidmatan perubatan estetik tanpa lesen serta tidak bertauliah.

Beliau berkata, antara jenis rawatan yang dijalankan dan paling mendapat permintaan adalah filler, suntikan Vitamin C, botox, rawatan menghilangkan kedut atau jeragat serta sulam bedak.

"Klinik, spa dan pusat kecantikan yang menyediakan perkhidmatan tanpa lesen sebegini semakin berleluasa dan ia wujud disebabkan permintaan yang tinggi.

"Rawatan itu dilakukan oleh mereka yang hanya belajar di Thailand, China dan Korea dalam masa beberapa bulan sebelum memperoleh sijil dan balik semula ke sini untuk praktik tanpa kelulusan dari Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Dr Siti Fatimah Noor berkata, banyak komplikasi yang diterima hasil daripada rawatan kecantikan yang tidak mengikut prosedur sah itu sama ada yang mampu diselamatkan atau mengalami kecacatan kekal.

ANTARA peralatan  dirampas dalam serbuan KKM ke sebuah kediaman di Selayang, Selangor.
ANTARA peralatan dirampas dalam serbuan KKM ke sebuah kediaman di Selayang, Selangor.

Prosedur tanpa tauliah undang risiko cacat, kematian

Terlalu taasub untuk cantik tanpa memikirkan risiko ketika mendapatkan rawatan gigi atau estetik tidak bertauliah hanya akan mengundang malapetaka kepada wajah serta kesihatan.

Prosedur rawatan estetik dan gigi dilakukan individu tidak berkelayakan berpotensi menyebabkan komplikasi kesihatan, kecacatan dan kematian kepada pelanggan jika dikendalikan tanpa aturan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui maklumat dikongsi memaklumkan, terdapat 11 kesan sampingan berbahaya jika mendapatkan rawatan estetik dari individu tidak bertauliah.

Antara kesan buruk yang didapati pernah dialami mangsa adalah mati otak (koma), hilang fungsi anggota tubuh, kulit terbakar, buta, lumpuh bahagian muka dan jangkitan kuman.

Selain itu rawatan estetik haram menggunakan kandungan bahan kimia tanpa kelulusan boleh mengakibatkan pendarahan berlebihan, kerosakan saraf, muka bengkak, alahan ubat hingga membawa maut.

"Orang awam yang berhasrat untuk mendapatkan rawatan kecantikan estetik dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik yang berdaftar atau berlesen bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

"Secara umumnya, perkhidmatan perubatan estetik hanya boleh diberikan oleh pengamal perubatan berdaftar (dengan Majlis Perubatan Malaysia) yang telah ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP)," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan perubatan estetik yang dimaksudkan termasuk semua suntikan (contohnya suntikan Botox, Filler), perkhidmatan Laser, Liposuction dan pembedahan estetik lain.

"Banyak kes kritikal yang menyebabkan mangsa terpaksa melakukan pembedahan plastik untuk menyelamatkan anggota wajah yang mengalami kerosakan.

"Kesan sampingan bergantung kepada jenis komplikasi iaitu ada yang masih boleh disembuhkan dan ada bersifat kecacatan kekal.

"Justeru, berhati-hati dengan iklan di media sosial dan periksa dahulu sebelum mendapatkan sebarang perkhidmatan kecantikan kerana ini boleh mengancam keselamatan dan nyawa.

"Bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan diterima selamat dan berkualiti, orang ramai boleh melakukan semakan senarai premis berdaftar atau berlesen melalui pautan https://medicalprac.moh.gov.my atau portal rasmi KKM,https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2118," katanya.

PERALATAN digunakan untuk prosedur kecantikan.
PERALATAN digunakan untuk prosedur kecantikan.

Fakta 'sesat' kelirukan pelanggan

Sebar pelbagai 'mitos karut' melalui media sosial kononnya produk kecantikan digunakan 100 peratus selamat, halal dan pernah digunakan ramai artis tempatan.

Tinjauan wartawan mendapati rata-rata 'doktor estetik' haram aktif menggunakan pelbagai platform media sosial antaranya Instragram, Twitter serta Facebook untuk mengiklankan rawatan kecantikan kepada pelanggan tempatan.

Golongan 'doktor' tidak bertauliah ini dikesan sengaja 'memetik' nama golongan selebriti selain menggunakan video dan gambar proses suntikan vitamin C, sulam kening (brow embroidery), sulam bedak dan pendakap gigi dilakukan untuk meyakinkan mangsa.

Lebih membimbangkan apabila ada antara mereka sengaja mencipta 'fakta sesat' mendakwa produk digunakan itu mempunyai kebaikan lain termasuk meningkatkan imuniti dan antibodi tubuh, mengurangkan risiko penyakit kronik, memperbaiki tekstur dan kompleks kulit, mengurangkan risiko kanser.

Wartawan turut pelik apabila ada antara mereka ini berani mendakwa produk pemutih kulit digunakan turut berkesan mengurangkan simptom penyakit Parkinson, merawat gangguan spektrum autisme, menyembuh gejala menopaus dan lemah tenaga batin.

Dakwaan ini jelas tidak munasabah dan keterlaluan berikutan produk kosmetik digunakan tiada kaitan dengan mengubati fungsi mental, jantung dan penyakit hati serta buah pinggang.

Ia sekali gus boleh mengelirukan orang ramai apatah lagi maklumat berkenaan tidak disertai dengan bukti saintifik.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memaklumkan doktor palsu dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu individu yang memberi rawatan perubatan moden; tidak bertauliah; dan individu yang menggunakan gelaran doktor tanpa sijil sah.

Bagi individu yang memberikan rawatan perubatan moden, mereka menjalankan aktiviti itu di premis yang tidak berdaftar atau tidak berlesen, manakala individu yang tidak bertauliah pula akan memberi perkhidmatan jagaan kesihatan di kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan swasta (KPJKS) yang berdaftar atau berlesen dengan Kementerian Kesihatan.

Kumpulan ketiga adalah individu yang menggunakan gelaran 'doktor' bagi memberi gambaran bahawa dia adalah seorang doktor perubatan bertauliah, dengan tujuan melariskan penjualan produk atau bagi meraih kepercayaan pelanggan.

Ikuti laporan kedua di Buletin TV9 jam 7 malam ini

BILIK untuk pelanggan mendapatkan rawatan kecantikan di sebuah kediaman yang diserbu KKM.
BILIK untuk pelanggan mendapatkan rawatan kecantikan di sebuah kediaman yang diserbu KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 12:00 PM