NORHEZRI bersama Uzair As Siddiq.
NORHEZRI bersama Uzair As Siddiq.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: "Saya hanya mampu menjerit dan terus bersujud syukur sebaik dimaklumkan isteri hamil selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga," Muhammed NorHezri Baharudin, 35.

Lebih indah, tarikh isterinya, Umi Nazrah Md Nor, 35, disahkan hamil pada 20 November 2019 adalah ulang tahun perkahwinan mereka ke-10, sekali gus menjadi hadiah paling bermakna untuk mereka.

Pada 27 Jun 2020, cahaya mata yang dinamakan Uzair As Siddiq dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.

Muhammed NorHezri berkata, sebelum itu mereka sempat bercuti di Sabah dan isteri tidak menunjukkan sebarang tanda hamil selain cepat lapar serta lidahnya tidak dapat merasa makanan masam.

"Apabila pulang, isteri dilihat seperti demam dan sempat membuat ujian kehamilan namun keputusan tidak jelas. Saya membawanya ke klinik sebelum doktor sahkan isteri hamil sembilan minggu.

"Saya bersyukur apabila dimaklumkan kandungan berada dalam keadaan baik kerana sepanjang berada di Sabah, isteri banyak bergerak," katanya ketika dihubungi.

Menceritakan pengalaman untuk memperoleh zuriat, lima tahun pertama perkahwinan, mereka tidak terlalu berusaha kerana menganggap masih belum diberikan rezeki.

"Hanya selepas tempoh itu, kami bersama-sama membuat pemeriksaan doktor dan mendapati isteri mengalami masalah hormon serta kitaran haid menyebabkan peluang untuk hamil sangat tipis," katanya.

Mereka bagaimanapun tidak berputus asa dan melakukan pelbagai usaha menerusi kaedah perubatan moden serta tradisional.

"Kami pernah mencuba rawatan kesuburan inseminasi intrauterin (IUI) pada 2016 namun gagal hingga doktor maklumkan usaha untuk memperoleh zuriat agak mustahil.

"Tidak berputus asa, kami berikhtiar dengan rawatan alternatif seperti berurut, minum herba, menjalani perubatan Islam dan sebagainya asalkan tidak bertentangan dengan agama

"Saya berpegang dengan kata-kata seorang doktor bahawa selagi mempunyai rahim, peluang untuk hamil masih ada," katanya.

Jelasnya, dalam tempoh itu pelbagai dugaan dan ujian dihadapi termasuk berdepan dengan persepsi masyarakat.

"Kami pernah dituduh mati pucuk dan mandul selain dikatakan mengalami masalah rumah tangga. Kami rasa takut dan tertekan ketika berdepan dengan orang ramai apabila ditanya perkara sama," katanya.

Katanya, selepas pelbagai usaha dilakukan, tiba satu peringkat, dia dan isteri mula merancang untuk mengambil anak angkat.

"Pada masa sama saya membuka pusat tahfiz dan mengambil 20 pelajar yang dijaga seperti anak sendiri. Saya meminta dipanggil Abi dan isteri, ibu.

"Selain itu, kami sedekahkan makanan di masjid berhampiran pada setiap Jumaat. Di kotak makanan, kami tinggalkan nota meminta mereka mendoakan kami diberikan zuriat," katanya.

Dia turut memelihara kucing dan sering meminta orang lebih berusia mendoakan supaya diberikan zuriat.

"Saya sentiasa beristighfar dan berdoa kepada Allah supaya diberi peluang menjadi seorang ayah suatu hari nanti. Ketika ini kami sudah reda dengan ketentuan Allah.

"Alhamdulillah, selepas pelbagai usaha dengan izin Allah, saya dan isteri diberikan rezeki anak selepas 10 tahun berkahwin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 8:01 AM