BELLA tak tertekan sebaliknya anggap pertanyaan soal zuriat sebagai doa buatnya serta suami.
BELLA tak tertekan sebaliknya anggap pertanyaan soal zuriat sebagai doa buatnya serta suami.
Zaara Talita


SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mendambakan cahaya mata bagi menyerikan bahtera perkahwinan.

Tidak terkecuali buat pelakon jelita, Bella Dally yang sudah empat tahun bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Arif Izuddin.

Begitupun, Bella sendiri tidak berasa tertekan dengan soalan 'cepumas' berkenaan, sebaliknya menganggap segala pertanyaan mengenai anak menjadi doa buat mereka berdua.

"Cahaya mata, belum sampai lagi cahaya mata tu. Saya masih okey apabila ditanyakan mengenai bab hamil.

"Apa pun kami anggap semua itu sebagai doa. Baik saya mahupun suami, kami aminkan saja semua pertanyaan dan harapan orang ramai.

"Alhamdulillah.. saya bersyukur keluarga saya memahami dan tidak memberikan tekanan berhubung soal zuriat. Apatah lagi, semua ini kuasa Allah SWT," katanya.

Menurut pelakon berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini, soal zuriat diserahkan kepada Allah SWT.

Malah, dia juga mengambil pendekatan untuk kekal positif biarpun sering diajukan mengenai soal itu.

"Tidak dinafikan, ada juga pengikut dan peminat bertanya mengenai soal cahaya mata, namun saya sendiri tidak mempunyai jawapannya.

"Oleh itu, saya memilih untuk tidak menjawab pertanyaan di media sosial berhubung soal anak. Cuma doakan saya dan suami, Insya-Allah apabila tiba masanya nanti," katanya.

Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally berkata, dia bersyukur suaminya juga memberikan sokongan daripada aspek mental dan fizikal.

BELLA utama kualiti kerja dan jenama.
BELLA utama kualiti kerja dan jenama.

Selepas lima bulan berkenalan, Bella dan Arif mengambil keputusan bertunang pada 12 Januari 2019 di Kota Kinabalu, Sabah. Mereka mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2019.

Sebelum itu, Bella yang juga pelakon drama Makmum Yang Paling Aku Cinta pernah berkahwin dengan pelakon Nazim Othman pada September 2016. Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai pada 2 Mei 2018.

Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya, Bella berpendapat walaupun bergelar isteri, namun minat dalam bidang lakonan tidak pernah luntur.

"Alhamdulillah suami memahami kerja, tetapi saya tidak boleh mensia-siakan kepercayaan diberikan suami. Saya faham apabila memegang status isteri, saya perlu tahu menjaga batas.

"Biasanya apabila menerima tawaran, saya akan melihat siapa pengarah dan macam mana jalan ceritanya sebelum bersetuju.

"Saya lebih selektif, tapi tetap akan berlakon terutama jika mendapat watak lain daripada yang lain. Ia termasuk naskhah yang jalan ceritanya bagus dan daripada pengarah terbaik.

"Saya tak nak main 'rembat' tawaran kerana saya pentingkan kualiti lakonan dan jenama saya. Saya juga takkan ambil dua tawaran dalam masa sama kerana tidak mahu hilang fokus," katanya.

Seiring dengan jenamanya bukan saja sebagai pelakon, tetapi juga ikon ramai wanita Muslimah, Bella mahu fokus kepada mutu kerjanya.

Malah, dia juga bersyukur masih diberikan kepercayaan menjadi duta tudung Ariani untuk tahun ke sembilan.

"Alhamdulillah saya mula bertudung sejak sembilan tahun lalu dan dalam tempoh itu juga saya bersama jenama mereka. Syukur kerana jangka masa itu cukup panjang dan saya masih dipilih sebagai duta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 6:00 AM