PEMANDANGAN udara di Batu 20, Kampung Sungai Lui hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEMANDANGAN udara di Batu 20, Kampung Sungai Lui hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Angka kematian akibat banjir di Selangor dan Pahang merekodkan seramai 31 mangsa apabila kedua-dua negeri berkenaan masing-masing mencatatkan 21 dan 10 kematian setakat hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya merekodkan 21 kematian di seluruh Selangor sehingga hari ini.

"Daripada jumlah itu, 11 kematian direkodkan di Taman Sri Muda, Shah Alam.

"Kerja mencari dan menyelamat mangsa banjir masih giat dijalankan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, operasi menyelamat masih diteruskan di dua lokasi di Taman Sri Muda dan Bandar Sri Ehsan, Bukit Changgang.

"Di Taman Sri Muda, seramai 334 mangsa dipindahkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu dipindahkan adalah 3,504 mangsa sejak hari pertama operasi dijalankan.

"Di Bandar Sri Ehsan pula, seramai 19 mangsa termasuk warga emas, kanak-kanak dan bayi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, semalam," katanya.

Sementara itu, jurucakap JBPM Pahang berkata, pihaknya merekodkan 10 kematian setakat hari ini termasuk penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di sebuah kawasan chalet Bobby Eco Camp, Bentong, pagi tadi.

"Kami menerima lapan kes membabitkan tujuh kes lemas dan satu tanah runtuh di seluruh negeri ini membabitkan 75 mangsa dengan 59 daripadanya berjaya diselamatkan.

"Daripada jumlah itu juga, 10 individu dilaporkan meninggal dunia, manakala enam lagi mangsa masih belum ditemui.

"Sebanyak 284 PPS dibuka di sembilan daerah di Pahang membabitkan 38,975 mangsa yang terdiri daripada 11,262 keluarga sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Laporan terbaru sehingga jam 7 malam tadi, dua mangsa banjir ditemukan di Taman Sri Muda menjadikan jumlah kematian 13 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 6:19 PM