Anggota bomba mengusung keluar seorang lelaki orang kurang upaya yang terperangkap di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Batu 7, Ijok, semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba mengusung keluar seorang lelaki orang kurang upaya yang terperangkap di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Batu 7, Ijok, semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Hujan lebat berterusan selain `banjir termenung' menyebabkan seramai 120 individu daripada 71 keluarga masih ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini sehingga hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, tiga PPS itu membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, SK Parit Mahang dan PPS Dewan Serbaguna Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 25 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan PPS Dewan Serbaguna MDKS Desa Coalfields sejak 18 November lalu.

"Seramai 52 mangsa lagi adalah penghuni Pusat Jagaan Jasheria, Jalan Haji Ehsan dan mereka ditempatkan di PPS SK Parit Mahang, sejak semalam.

"Manakala 43 mangsa lagi daripada 10 keluarga pula dipindahkan ke PPS SK Ijok yang juga dibuka sejak semalam," katanya, di sini.

Shaiful Azril berkata, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

"Kami dapati beberapa kawasan mulai surut antaranya di Kampung Sri Aman, namun paras air masih sama di Kampung Seri Sentosa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 4:54 PM