CROUCHER
CROUCHER
Agensi

London: Jamuan dianjurkan sebuah gereja di pub berakhir dengan tragedi apabila seorang peserta yang hadir maut manakala 31 yang lain mengalami keracunan makanan selepas memakan pai shepherd berisi daging cincang disediakan seorang tukang masak.

Portal The Guardian melaporkan Elizabeth Neuman, 92, berulang kali muntah selepas makan pai itu dan meninggal dunia manakala individu lain mengalami keracunan dan tiga daripada mereka yang hadir selamat kerana vegetarian.

Tukang masak, John Croucher yang ketika itu adalah ketua cef di pub dinamakan Crewe Arms di perkampungan Hinton-in-the-Hedges di Northamptonshire dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan digantung selama 12 bulan selepas mengakui pertuduhan melanggar peraturan makanan.

Ketika membela diri di mahkamah, Croucher, 40, mengakui dia menyediakan hidangan itu dalam keadaan tergesa-gesa.

"Saya benci untuk memberitahu tetapi saya dalam keadaan tergesa-gesa," katanya.

Croucher berkata, dia mempunyai pengalaman bekerja di dapur selama 20 tahun dan akibat kejadian itu reputasinya sedikit terjejas.

"Ini adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan. Disebabkan itu, saya akan cuba menjadi tukang masak yang lebih baik," katanya.

Hakim Sarah Campbell dalam penghakimannya memberitahu pada 8 Oktober 2018, 35 penduduk kampung pergi ke Crewe Arms untuk menjamu selera dan 32 orang memakai pai shepherd dimasaknya menyebabkan seorang yang sihat meninggal dunia akibat pendarahan perut yang disebabkan oleh muntah.

"Tiada ayat yang sesuai diberikan untuk menggambarkan kehilangan keluarga.

"Croucher ialah cef malam itu. Daging kisar tidak dimasak dengan betul dan dimasukkan ke dalam kuali dengan masih berais.

"Tertuduh meletakkan daging kisar dan memasukkan ke dalam peti sejuk semalaman. Selepas meninggalkannya, dia memasaknya lagi dan menambah kentang lenyek. Dia tidak mengambil suhu semasa dihidangkan," katanya.

Mahkamah diberitahu jemaah gereja Holy Trinity tidak mahu tindakan diambil terhadap pub itu termasuk pemiliknya, Neil Billingham atau Croucher, yang tidak lagi bekerja di sana.

Tetapi hakim menimbulkan kebimbangan mengenai rekod pub itu, dengan berkata: "The Crewe Arms ialah pub penting kepada masyarakat tempatan. Saya membaca banyak rujukan daripada ahli masyarakat.

"Mereka semua mengatakan ini adalah kesilapan sekali sahaja tetapi melihat bukti ini bukan kesilapan sekali sahaja.

"Pub itu sepatutnya mengambil langkah untuk menambah baik. Pemeriksaan pada 2015 memberikannya tiga bintang dan pada 2017 memberikannya hanya satu bintang," katanya.

Billingham dari Northampton yang mengakui tiga pertuduhan melanggar peraturan makanan didenda 9,000 euro (RM42,953) dan diperintahkan membayar 1,000 euro (RM4,772) kos mahkamah manakala syarikatnya didenda hampir 3,000 euro (RM14,317).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 6:30 AM