Anis Nabilah pada sidang media pelancaran illycaffè di Hartamas Shopping Center. FOTO ASWADI ALIAS
Anis Nabilah pada sidang media pelancaran illycaffè di Hartamas Shopping Center. FOTO ASWADI ALIAS
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Cef selebriti, Anis Nabilah menyarankan pengusaha kantin sekolah atau restoran untuk menjalani kursus pengendalian makanan bagi menjamin kebersihan dan keselamatan orang ramai.

Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umarruddin, 38, berkata, langkah itu bagi mengelakkan mana-mana individu mengalami keracunan makanan yang boleh mengakibatkan maut.

"Mengenai kes keracunan akibat makan telur baru-baru ini, pertama sekali setiap pengendali makanan harus mengikuti kursus menjaga keselamatan dalam penyediaan dan pengendalian makanan.

"Perkara ini penting kerana keracunan boleh saja berlaku. Saya pun tidak tahu apa jadi, cuma telur mesti dimasak sepenuhnya dan tidak dinasihatkan untuk memakannya separuh masak," katanya.

Anis berkongsi tips dan pengalaman sebagai cef selepas tular kanak-kanak berusia dua tahun dan seorang remaja berusia 17 tahun maut kerana mengalami cirit-birit akibat makan makanan dibawa pulang dari sebuah sekolah agama di Gombak.

Anis juga menyarankan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tips yang dikongsikan di media sosial sekiranya individu itu bukan dalam kalangan yang pakar mengenai penjagaan pemakanan.

"Ramai salah faham dan dalam media sosial pun pempengaruh ajar cara basuh telur. Cuci guna air dan kemudian mereka simpan dalam peti sejuk itu salah ya.

"Kulit telur berpori. Apabila cuci, akan ada zarah kecil yang memasuki telur sehingga menyebabkan tercemar," katanya.

"Yang kedua apabila pegang telur yang tidak dibersihkan seperti ada najis, kemudian kita pegang macam-macam benda pun boleh tercemar.

"Selain itu sesetengah negara memang akan sentiasa masak telur dengan sempurna supaya semua bakteria terhapus dan elak tercemar.

"Cuaca di negara kita pula panas. Saya nasihatkan untuk simpan telur dalam peti sejuk dan cuci sebelum masak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 12:35 PM