Penyokong pelawat terjah di tepi padang.
Penyokong pelawat terjah di tepi padang.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemenangan Terengganu FC menentang Selangor FC malam kelmarin dicemari insiden penyokong pasukan pelawat 'menerjah' ke dalam kawasan tepi padang bagi meraikan gol.

Malah, perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan skuad Penyu memperoleh kemenangan 3-1 itu menyaksikan penyokong pasukan pelawat turut memeluk pemain import Jordan Mintah ketika meraikan gol kedua tanpa dikawal ketat oleh pegawai perlawanan.

Insiden berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan tahap keselamatan selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkaitan insiden terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci iaitu memanggil pihak berkaitan sebelum tindakan susulan diambil bagi membendung kejadian sama berulang.

"Kita ada menerima laporan membabitkan kejadian itu dan siasatan segera akan dilakukan sebelum tindakan sewajarnya diambil.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai kegagalan kawalan keselamatan kerana penganjuran kejohanan besar seperti Piala Dunia pun ada penyokong lari masuk ke padang," katanya.

Kegagalan pasukan untuk mengawal penyokong masing-masing daripada bertindak di luar batasan termasuk memasuki kawasan padang boleh dikenakan hukuman denda.

Antara pasukan yang pernah dikenakan tindakan itu adalah Persatuan Bolasepak Negeri Johor (Johor Darul Ta'zim) membabitkan perlawanan menentang Felda United apabila penyokong pasukan berkenaan memasuki padang sebaik permainan tamat pada saingan Liga Super 2015.

Pasukan lain yang turut dikenakan hukuman sama adalah Selangor dengan penyokong mereka turut menceroboh masuk ke dalam padang selepas perlawanan Piala Malaysia 2015 antara pasukan terbabit menentang Pahang di Stadium Shah Alam pada 6 Disember 2015.

Kedua-dua pasukan itu didenda RM5,000 hingga RM7,500 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Perlawanan malam kelmarin menyaksikan Terengganu terus membuktikan mereka jaguh pantai timur apabila berjaya menundukkan Selangor 3-1 dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia.

Skuad kendalian Nafuzi Zain terus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi lima perlawanan peringkat kumpulan.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain lincahnya Faisal Halim yang berjaya menyumbat gol pembukaan pada minit ke 15 untuk kedudukan 0-1.

Terengganu terus menambah derita skuad kendalian Karsten Neitzel untuk gol kedua pelawat apabila sepak percuma penyerang importnya, Jordan Mintah berjaya menerjah gawang, sekali gus menewaskan Khairulazhan Mohd Khalid pada minit 72.

Skuad Gergasi Merah pula berjaya merapatkan jurang gol menerusi penyerangnya, Shahrel Fikri pada minit ke 83 untuk kedudukan 1-2 sebelum Mintah sekali lagi menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila menyumbat gol ketiga juga menerusi sepakan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 8:00 AM